Berita

Tiga individu diberkas selepas kereta terbabas ke dalam longkang

TIGA kereta peronda dikerah membantu mengejar kereta berkenaan dari Jalan Cheras dan berjaya menahan kesemua suspek dengan bantuan penduduk tempatan selepas kenderaan itu terbabas ke dalam longkang.
- Diterbit 16 Jun 2021 7:47 AM MYT

POLIS berjaya memberkas dua lelaki dan seorang wanita yang cuba melarikan diri daripada pemeriksaan selepas kereta jenis Perodua Bezza dinaiki mereka terbabas ke dalam longkang besar berhampiran Taman Sri Nanding, di Hulu Langat, Selangor, semalam.

Ketua Polis Daerah Cheras ACP Muhammad Idzam Jaafar berkata terdahulu, anggota cegah jenayah ternampak kereta bercermin gelap itu dalam keadaan mencurigakan di Jalan Cheras menghala ke Kajang pada kira-kira pukul 5.15 petang, namun pemandunya bertindak memecut kenderaan itu selepas diarahkan berhenti bagi pemeriksaan.

“Susulan itu, tiga kereta peronda dikerah membantu mengejar kereta berkenaan dari Jalan Cheras dan berjaya menahan kesemua suspek dengan bantuan penduduk tempatan selepas kenderaan itu terbabas ke dalam longkang.

“Terdapat empat suspek berusia 20 hingga 36 tahun di dalam kereta berkenaan namun seorang daripadanya berjaya melarikan diri, dan usaha mengesannya sedang dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhammad Idzam berkata semakan awal mendapati kedua-dua lelaki dan wanita itu memiliki pelbagai rekod berkaitan jenayah dan dadah selain positif terhadap dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.

Beliau berkata pihaknya akan memohon reman bagi membolehkan ketiga-tiga mereka disiasat lanjut mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 29(1) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. — BERNAMA

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas