Berita

EMPAT FILEM SEMPENA HARI BAPA

KREDIT foto oleh: PanduanMalaysia Kredit foto oleh: PanduanMalaysia
- Diterbit 20 Jun 2021 2:00 AM MYT

AYAH, Walid, Daddy, Abi, Papa, Abah merupakan panggilan buat seorang insan yang memikul tanggungjawab besar dalam membimbing anak-anak dan juga mencari nafkah buat perbelanjaan keluarga. Seorang ayah juga merupakan role model dan sentiasa menjadi kayu ukur bagi membentuk keperibadian ahli keluarganya. Meskipun jarang mengucapkan kata sayang namun setiap tindak tanduknya cukup menzahirkan rasa sayang terhadap anak dan juga isterinya.

Mempunyai perwatakan yang tegas, garang dan jarang bercakap membuatkan anak-anak lebih selesa untuk berkongsi cerita dengan ibu mereka. Namun, dalam diam seorang ayah masih mengambil berat tentang keluh kesah anak-anaknya melalui cerita si ibu.

Meskipun Hari Bapa tidak mempunyai satu tarikh rasmi seperti hari lain, namun, Hari Bapa tetap disambut meriah bagi memberi peluang kepada kita untuk menghargai pengorbanan dan jasa yang telah mereka curahkan. Pada kali ini, Wilayahku menyenaraikan empat filem yang menggambarkan tentang kasih seorang ayah mengatasi segalanya.

#1 Papadom

Pengarah: Afdlin Shauki
Pelakon: Afdlin Shauki, Liyana Jasmay

SAADOM adalah seorang pegusaha kedai makan yang terlalu kuat bekerja sehingga berjaya mengejar impian hidupnya, namun dia gagal dalam tanggungjawabnya sebagai suami kepada Munirah dan ayah kepada Miasara. Situasi ini berubah apabila Saadom kehilangan isteri kesayangannya yang mati dalam satu kemalangan ketika ingin melihat anaknya menerima anugerah di sekolah selepas suaminya memberikan alasan sibuk. Sejak peristiwa itu, Saadom tidak lagi seperti dulu, setiap jam yang ada dalam sehari dihabiskan Saadom untuk menemani anaknya. Pendek kata, dari seorang ayah yang terlalu sibuk dengan kerjayanya kini berubah menjadi seorang ayah yang terlalu mengambil berat dan mengongkong anaknya.
Namun, pengorbanannya berbaloi apabila Miasara ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran di IPTA. Miasara tidak lagi mahu ayahnya mengikutnya ke Kuala Lumpur dan mengugut akan berhenti belajar sekiranya tidak patuh pada arahannya. Saadom akur akan tetapi dia mempunyai cara lain untuk melindungi dan menjaga anaknya iaitu dengan memohon jawatan sebagai tukang kebun di kampus tempat anaknya belajar. Hubungan darah antara Saadom dengan Miasara langsung tidak diketahui oleh sesiapa. Dilonjakkan lagi dengan ugutan Shasha yang mahu memerangkap Saadom dan Miasara, kerana dengki Shasha terhadap Miasara, menjadi kemuncak dalam filem ini.
Filem ini bukan sekadar menyentuh hati, malah turut mencuit hati yang berjaya menggabungkan elemen kelakar dan juga terharu. Ia bukan sahaja menggeletek hati orang dewasa malah kanak-kanak juga. Papadom menunjukkan tentang kasih seorang ayah terhadap anaknya sehingga tidak menyedari bahawa tindak tanduknya mengongkong anaknya yang semakin meningkat dewasa.

#2 The Pursuit of Happyness

Pengarah: Gabriele Muccino
Pelakon: Will Smith, Jaden Smith

ADAPTASI daripada sebuah kisah benar yang berlaku pada tahun 1981, mengenai kesusahan dan keperitan sebuah keluarga dalam menjalani kehidupan seharian. Chris Gardner merupakan seorang ayah dan juga jurujual yang telah melaburkan semua wang simpanannya bagi membeli mesin pengimbas ketumpatan tulang mudah alih dalam jumlah yang banyak dengan anggapan alat tersebut berpotensi tinggi untuk dijual kerana ia adalah lebih bagus daripada mesin sedia ada di hospital. Namun, harga mesin tersebut yang dua kali ganda lebih mahal dari mesin sedia ada menyebabkan para doktor memilih untuk menggunakan mesin sedia ada dan menyebabkan Gardner sukar mencari pembeli bagi mesin tersebut. Kegagalan Gardner menjual mesin tersebut mengakibatkan isterinya tertekan lalu mengambil keputusan untuk berhijrah ke New York dan melepaskan hak penjagaan anak kepada Gardner. Tidak mampu membayar sewa menyebabkan Gardner dan anaknya telah dihalau keluar oleh tuan rumah. Suatu saat yang sangat menyedihkan apabila Gardner dan Christoper terpaksa tidur dalam tandas di stesen kereta api bawah tanah sehinggakan Gardner menitiskan air mata mengenangkan nasibnya. Oleh kerana itu, Gardner bekerja keras dalam memastikan dia menjadi seorang broker saham dan usahanya berbaloi apabila diambil bekerja di Dean Witter. Filem ini agak berat akan tetapi sarat dengan motivasi dan pesanan kemanusiaan yang sesuai untuk ditonton pada Hari Bapa ini.

#3 Hope

Pengarah: Lee Joon-ik
Pelakon: Sol Kyung-gu, Uhm Ji-won, Lee Re

SEBUAH filem berdasarkan peristiwa sebenar di Korea, ‘Na Yeong Case’ pada tahun 2008. Dalam perjalanan ke sekolah sambil membawa payung, seorang kanak-kanak perempuan bernama So-Won, dihampiri oleh seorang lelaki tua yang kononnya ingin menumpang payung So-Won. Malangnya peristiwa tersebut menyebabkan So-Won dirogol, diseksa secara seksual dan brutal oleh lelaki tua itu serta dipukul separuh mati. Akibatnya, dia menderita secara luaran dan dalaman. Keluarga bahagia mereka musnah, walaupun sudah pulih, emosi SoWon masih tidak stabil dan kejadian hitam itu menyebabkan So-Won trauma dengan lelaki meskipun dengan ayahnya sendiri, Dong-Hoon. Trauma anaknya menyebabkan Dong-Hoon terpaksa mengambil inisiatif memakai maskot karakter kartun kegemaran anaknya agar dapat berinteraksi dengannya. Kisah meruntun jiwa ini memperolehi cukup banyak kekuatannya dari persembahan lakonan yang ditampilkan begitu baik dan sempurna, dari karakter utama hinggalah karakter tambahan. Filem ini menggambarkan trauma yang dihadapi So-Won serta pengorbanan dan usaha yang dilakukan oleh seorang ayah yang mahu berinteraksi dengan anaknya dan berharap agar anaknya melupakan kejadian hitam tersebut untuk menjalani kehidupan normal seperti kanak-kanak yang seusia dengannya.

#4 Finding Nemo

Pengarah: Andrew Stanton
Pelakon: Albert Brooks, Ellen DeGeneres

ANDA tidak pernah terlalu tua untuk menonton filem animasi. Finding Nemo adalah filem animasi 3D dari Disney Pixar yang ditayangkan pada tahun 2003. Menceritakan tentang perjalanan Marlin yang mencari anaknya, Nemo. Marlin adalah seekor ikan jenis clown fish yang sangat protective terhadap anaknya kerana anaknya mempunyai sirip cacat. Ia disebabkan oleh sebuah tragedi ngeri yang membunuh isteri serta telur-telurnya yang lain. Pada suatu hari, Nemo berusaha ke permukaan laut untuk menyentuh kapal serta melihat apa yang berada di permukaan laut meskipun telah dilarang beberapa kali oleh ayahnya. Nasib tidak menyebelahi Nemo apabila dua orang penyelam menculik Nemo lalu menghantarnya ke sebuah klinik gigi yang terletak di Sydney. Dalam pada itu, Marlin berusaha mengejar bot yang mengambil Nemo namun usahnya gagal. Dalam misi pencariannya, Marlin bertemu ikan yang bernama Dory, sejenis ikan yang menderita kehilangan memori jangka pendek. Mereka bersama melakukan perjalanan mengharungi perairan samudera yang sangat jauh, menghadapi pelbagai makhluk laut yang berbahaya seperti hiu, anglerfish dan ubur-ubur, dalam usaha untuk menyelamatkan Nemo. Kesungguhan Marlin membuktikan bahawa kasih ayah mengatasi segalanya.
– WILAYAHKU- DIANA AMIR 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas