Berita

31,987 individu terima vaksin fasa kedua Program Vaksinasi Bergerak MyMedic@Wilayah

PROGRAM Vaksinasi Bergerak MyMedic@Wilayah membantu untuk mencapai imuniti kelompok dalam kadar segera. FOTO: NAZIRUL ROSELAN PROGRAM Vaksinasi Bergerak MyMedic@Wilayah membantu untuk mencapai imuniti kelompok dalam kadar segera.
- Diterbit 19 Jun 2021 10:24 AM MYT

SERAMAI 31,987 individu menerima vaksin bermula hari ini sehingga 23 Jun depan menerusi pelaksanaan fasa kedua Program Vaksinasi Bergerak MyMedic@Wilayah.

Menurut Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa fasa kedua diteruskan bagi mencapai sasaran imuniti kelompok dan akan melibatkan golongan individu yang berisiko tinggi untuk dijangkiti COVID-19.

“Bagi memastikan warga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan mencapai sasaran imuniti kelompok seawal Ogos ini, malah dijangkakan lebih awal berbanding negeri lain, Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) meneruskan pelaksanaan fasa kedua Program Vaksinasi Bergerak MyMedic@Wilayah.

“Seramai 31,987 menerima vaksin mulai hari ini hingga 23 Jun depan melibatkan golongan individu yang berisiko tinggi untuk dijangkiti COVID-19 termasuk peniaga, pekerja di pasar harian serta penjaja, kawasan industri, penempatan gelandangan, Program Perumahan Rakyat, Majlis Tindakan Ekonomi Negara (PPR MTEN), Perumahan Awam (PA) DBKL dan kampung-kampung tradisi,” katanya menerusi satu kenyataan media.

Ujarnya fasa kedua ini melibatkan 22 lokasi antaranya Pasar Borong Kuala Lumpur, Pasar Harian Selayang, lapan kawasan industri, tujuh PPR MTEN/PA DBKL, pusat penempatan gelandangan di Pusat Komuniti Setiawangsa, Desa Aman, Desa Tasik, Kampung Sungai Penchala dan Kampung Padang Balang.

Annuar berkata dengan kapasiti 600 dos vaksin sehari bagi setiap lokasi yang menggunakan keseluruhan 10 trak vaksin bergerak, sasaran 80 peratus warga WP Kuala Lumpur divaksinasi menjelang Ogos 2021 dapat dicapai.

Jelasnya lagi inisiatif ini adalah lanjutan Program Rintis Vaksinasi Bergerak MyMedic@Wilayah yang berjaya memberi sebanyak 24,500 dos vaksin serta bagi meningkatkan tahap kesiapsagaan.

“Inisiatif ini adalah lanjutan daripada Program Rintis Vaksinasi Bergerak MyMedic@Wilayah yang telah bermula sejak 7-13 Jun 2021 yang lalu dimana sebanyak 24,500 dos vaksin telah diberikan kepada kumpulan sasar di WP Kuala Lumpur. Melihat kepada kejayaan ini, pihak CITF telah memberikan kebenaran kepada KWP untuk meneruskan program ini.

“Ia juga dilakukan untuk meningkatkan tahap kesiapsagaan dengan memfokuskan pemberian vaksin kepada warga WP Kuala Lumpur bagi mencapai imuniti kelompok dalam kadar segera,” jelasnya mengenai usaha KWP dalam memastikan imuniti kelompok dapat dicapai dengan segera.

Dalam pada itu, Annuar berkata KWP menyasarkan 33,000 suntikan vaksin dalam sehari di WP Kuala Lumpur termasuk Putrajaya serta Labuan dan ia mampu dicapai menerusi pertambahan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) mega selain PPV di klinik atau hospital swasta juga vaksinasi melalui Program Vaksinasi Bergerak MyMedic@Wilayah.

Beliau berkata bahawa kejayaan program vaksinasi ini adalah hasil kerjasama strategik KWP serta sokongan teknikal dan logistik yang diterima daripada pelbagai pihak.

“Kejayaan program vaksinasi ini adalah hasil kerjasama strategik KWP bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Yayasan Wilayah Persekutan (YWP) serta jabatan dan agensi kerajaan yang lain.

“Selain itu, pelaksanaan Program Vaksinasi Bergerak MyMedic@Wilayah ini juga mendapat sokongan teknikal dan logistik daripada pelbagai pihak  termasuk non-medical crew , sukarelawan (PriVo) dan Persatuan-Persatuan Penduduk yang bersama-sama banganding bahu dalam menjayakan program ini,” tambahnya. -WILAYAHKU- DIANA AMIR

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas