Berita

Empat filem selami dunia Autisme

- Diterbit 31 Mei 2021 4:17 AM MYT

SETIAP 2 April merupakan Hari Kesedaran Autisme Sedunia. Autisme adalah sejenis kecacatan
neurologi yang membatasi kemampuan penghidap tersebut dalam aspek komunikasi, interaksi sosial dan tingkah laku. Masih ramai yang tidak mengetahui mengenai autisme ini secara mendalam malah ada yang memberi persepsi buruk terhadap individu serta keluarga yang mempunyai anak autisme ini.
Di sini kami senaraikan filem yang akan membantu anda untuk memahami apa itu autisme serta penceritaan tentang pengorbanan ibu bapa dalam membesarkan anak yang menghidapi penyakit ini.

#1 Redha

Pengarah: Tunku Mona Riza
Pelakon: Namron, June Lojong, Harith Haziq
FILEM inspirasi dari kisah benar ini menceritakan tentang kehidupan ibu bapa membesarkan anaknya yang menghidap
autisme. Pasangan suami isteri, Razlan dan Alina menjadi terumbang-ambing dalam menghadapi realiti perjuangan sebenar dalam membesarkan seorang anak autistik yang bernama Danial.
Ketidaksanggupan Razlan untuk menerima kebenaran menyebabkan kedinginan dalam keluarga yang pernah bahagia ini. Ketabahan Alina dan naluri seorang ibu membantu mereka dalam melalui detik yang sukar dalam membesarkan Danial. Dibantu oleh adik serta teman rapatnya, mereka telah menemui cara khusus untuk membantu Danial, sehinggalah satu kemalangan tragis menyebabkan keluarga ini terpaksa dibina semula. Filem ini ditayangkan di pawagam pada 14 April 2016.

 

#2 Innocent Witness

Pengarah: Lee Han
Pelakon: Jung Woo-Sung, Kim Hyang-gi
INNOCENT Witness merupakan filem drama Korea Selatan yang diterbitkan pada 13 Februari 2019. Seorang lelaki tua yang menderita penyakit kemurungan ditemui mati di dalam rumah, dan pembantu rumahnya, Mi-ran, didakwa atas pembunuhan itu. Peguam bela Mi-ran, Sun-ho, mengklasifikasikan kes tersebut sebagai kejadian bunuh diri.
Soon-ho bertemu dengan Im Ji-woo, seorang gadis remaja yang menghidapi autisme dan merupakan satu-satunya saksi kejadian.
Keadaan Ji-Woo yang istimewa membuatkan sukar untuk mendapat kenyataan daripadanya. Untuk berkomunikasi dengan Ji-Woo, Soon Hee mula mempelajari serba sedikit tentang autisme.
Setelah berjaya mengumpul bukti, Soon Ho mula berfikir bagaimana agar kenyataan Ji-Woo diterima oleh mahkamah memandangkan Ji-Woo juga sering tidak menumpukan perhatian dan mudah dialihkan perhatiannya. Apakah usaha yang Soon Ho akan lakukan agar dia memenangi kes ini?

#3 Taare Zameen Par

Pengarah: Aamir Khan
Pelakon: Aamir Khan, Darsheel Safary,
TAARE Zameen Par atau Like Stars on Earth ialah filem drama India pada 2007. Mengisahkan Ishaan, seorang budak disleksia berumur lapan tahun yang bergelut dengan ekspetasi dan kehendak ayahnya. Walaupun dia cemerlang dalam seni,
prestasi akademiknya yang lemah membawa ibu bapanya untuk menghantarnya ke sekolah asrama.
Aamir Khan memainkan peranan sebagai guru seni baru Ishaan mengesyaki bahawa beliau mengalami disleksia. Apabila cuba memberitahu perkara sebenar kepada ayah Ishaan, ayahnya seorang yang denial, enggan menerimanya. Aamir Khan mendekati Ishaan dengan cuba menjadi rakannya serta mencari potensi lain yang ada padanya. Ishaan mempunyai bakat dalam melukis serta mempunyai imaginasi yang tinggi di mana dari awal plot menujukkan Ishaan membayangkan objek bergerak.
Guru seninya memegang prinsip ‘Setiap kanak-kanak itu ada keistimewaan tersendiri’ yang akhirnya membuatkan Ishaan berjaya menyertai pertandingan lukisan. Di sini merupakan babak yang menyentuh emosi penonton dan menunjukkan bahawa setiap kanak-kanak itu unik dan kita perlu membantu agar potensi mereka tercapai.

#4 Ocean Heaven

Pengarah: Xue Xiaolu
Pelakon: Jet Li, Gwei Lun-mei, Wen Zhang
DRAMA China-Hong Kong 2010, Ocean Heaven adalah mengenai kisah cinta seorang ayah dan tidak pernah lelah untuk anaknya yang menghidapi autisme. Ayahnya, Sam menghidapi penyakit kanser dan apabila mengetahui hanya mempunyai tempoh kurang dari lima bulan untuk hidup, dia cuba mengajar anak autismenya, Dafu berdikari.
Sejak isterinya meninggal, Sam menguruskan semua hal anaknya bersendirian dan Dafu sering dibawa kemana-mana meskipun ke tempat kerja. Sam mula berfikir tentang keadaan Dafu setelah ketiadaannya dan pernah cuba membunuh dirinya sendiri juga Dafu dengan menenggelamkan diri di laut namun usahanya gagal apabila Dafu masih mampu berenang serta menyelamatkan ayahnya meskipun tubuhnya sudah dipakaikan batu pemberat.
Setelah itu Sam cuba meminta bantuan daripada yayasan sosial dari Rumah Anak Yatim hingga Rumah Sakit Jiwa untuk menjaga anaknya setelah kematiannya namun tiada yang menerima kerana tidak memenuhi kriteria. Sam mula mengajar anaknya membuka baju sendiri, memasak telur, menaiki bas dan sapu sampah di tempat kerjanya. Filem ini mengajar penonton yang mempunyai anak istimewa perlu sentiasa sabar dan tidak berhenti mendidik dengan baik serta penuh kasih sayang. – WILAYAHKU- DIANA AMIR 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas