EKSESAIS MalaPura 32/24 yang berlangsung dari 13 November lalu mencatat sejarah penting meraikan ulang tahun ke-40 penglibatan bilateral Malaysia-Singapura antara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Laut Republik Singapura (TLRS).
Menurut Bahagian Komunikasi Strategik, Markas Pemerintahan Armada Barat TLDM, sejak penganjuran sulungnya pada 1984, eksesais tersebut menjadi platform utama bagi meningkatkan keupayaan bersama dalam keselamatan maritim serantau bagi kedua-dua negara.
Jelasnya, pada siri ini, aset yang terlibat adalah Kapal Diraja (KD) Lekiu, KD Lekir, KD Gempita dan sebuah helikopter Fennec dari TLDM, manakala TLRS menugaskan RSS Supreme, RSS Vigilance, RSS Valiant dan helikopter Seahawks.
“Aset tambahan termasuk dua Fast Combat Boat TLDM dan dua pesawat SU30MKM milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) turut memperkukuh pelaksanaan eksesais ini.
“Eksesais yang mempunyai tiga fasa ini dimulakan dengan Fasa Pelabuhan di Changi Naval Base, Singapura, merangkumi majlis pembukaan yang disempurnakan Panglima Armada TLRS dan disaksikan Panglima Tentera Laut dari kedua-dua negara,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Menurutnya, aktiviti lain termasuk interaksi sukan (MalaPura Cup), Majlis Resepsi TLDM di KD Lekiu, perbincangan pegawai operasi dan interaksi sosial.
Katanya, Fasa Pelabuhan merupakan asas penting dalam eksesais ini di mana ia bukan sahaja mengukuhkan aspek teknikal dan operasi tetapi juga mengeratkan hubungan persahabatan dan memupuk persefahaman antara kedua-dua angkatan laut.
“Fasa Laut yang berlangsung di perairan Selat Melaka melibatkan siri latihan Field Training Exercise (FTX). Fokus utama adalah meningkatkan keupayaan interoperabiliti melalui latihan peperangan anti-udara, paras permukaan, navigasi, komunikasi dan ilmu kelautan.
“Latihan-latihan ini bukan sahaja menguji aspek teknikal aset dan anggota tetapi memperkasa kemahiran taktikal dan mewujudkan kesefahaman kedua-dua angkatan dalam operasi bersama.
“Setiap aset menunjukkan kewibawaan dalam melaksanakan siri latihan yang dirancang, mempamerkan profesionalisme kedua-dua angkatan laut,” katanya.
Jelas TLDM, Fasa Penutup pula telah berlangsung di Markas Wilayah Laut 3, Langkawi, menampilkan pelbagai aktiviti termasuk program komuniti di
Pulau Tuba
Majlis penutup disempurnakan Panglima Wilayah Laut 1, Laksamana Muda Datuk Baharuddin Wan Md Nor di Langkawi.
Turut hadir, Panglima TLDM, Laksamana Datuk Zulhelmy Ithnain dan Panglima TLRS, Rear Admiral Sean Wat Jiawen. – WILAYAHKU