Berita

MED sasar enam syarikat utama baharu di bawah VIPP

MOHD. HATTA (tengah) bergambar selepas majlis menandatangani MOU antara SME Bank dan Celcom Axiata baru-baru ini.
- Diterbit 15 November 2019 6:08 AM MYT

KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) menyasarkan enam lagi syarikat utama baharu di bawah Program Perkongsian Inovasi Vendor (VIPP).

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Dr. Mohd. Hatta Md. Ramli ber­kata, langkah itu sekali gus dapat merangsang pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (PKS) yang dilihat mampu menyumbang sehingga 50 peratus kepada perolehan kerajaan.

“Dari segi pembangunan, kita banyak bergantung kepada (syarikat) utama baharu. Setiap syarikat utama itu akan ada vendor. Kita juga akan menentukan sasaran bagi menambah lagi syarikat (vendor) ini.

“MED turut menyediakan platform kepada syarikat utama dan vendor untuk mengembangkan perniagaan secara potongan silang, menyeluruh dan merangkumi pelbagai peringkat rantaian makanan,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan VIPP di sini baru-baru ini.

Mohd. Hatta berkata setakat ini sebanyak 21 syarikat utama dan 1,228 syarikat vendor terlibat dalam Program Pembangunan Vendor (PPV) MED yang menggalakkan vendor mene­rokai industri berpertumbuhan tinggi, meningkatkan bekalan perkhidmatan dan produk secara rentas industri serta menembusi pasaran baharu.

“Melalui VIPP, MED berharap ia dapat menarik lebih banyak penyertaan syarikat utama dan vendor daripada pelbagai industri untuk memperkasakan PPV sebagai salah satu platform pembangunan keusahawanan selaras dengan aspirasi Dasar Keusahawanan Nasional 2030 dan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030,” katanya.

Dalam majlis itu, beliau turut menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara SME Bank dan Celcom Axiata Bhd. bagi mengiktiraf SME Bank sebagai institusi pembiayaan utama yang menyokong Program Pembangunan Vendor Celcom Axiata 2.0.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas