Biz

Ekonomi Malaysia jangka pendek akan terus hadapi cabaran – Perangkawan

PUTRAJAYA 12 OGOS 2020 - Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin pada persidangan "Conference on Future Of Work for Tourism Sector In Malaysia (Post Covid-19)" dan Pelancaran Big Data Analytics (BDA) di Hotel Marriot, Putrajaya, di sini, hari ini.
- Diterbit 25 Ogos 2021 4:45 AM MYT

INDEKS Pelopor (IP) menunjukkan prospek ekonomi Malaysia jangka pendek terus menghadapi cabaran susulan penurunan dalam semua komponennya terutama, Bilangan Unit Kediaman yang diluluskan pembinaan.

Berkata mengenainya, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin memaklumkan, walaupun pada Jun lalu, IP mencatatkan pertumbuhan positif sebanyak 0.5 peratus iaitu daripada 105.1 mata kepada 105.6 mata, namun ia menunjukkan penurunan 2.8 peratus pada bulan berikutnya.

“Melihat kepada hala tuju yang digambarkan oleh penurunan kadar pertumbuhan IP terlicin walaupun kekal di atas trend, IP menunjukkan bahawa prospek ekonomi Malaysia jangka pendek terus menghadapi cabaran.

“Ini sejajar dengan ramalan agensi antarabangsa dan nasional yang menjangkakan prospek ekonomi yang perlahan bagi Malaysia pada 2021,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Walaubagaimanapun, Mohd Uzir memberitahu, kesan positif daripada pelbagai inisiatif kerajaan untuk menyokong kelangsungan perniagaan seiring dengan kemajuan dalam kadar vaksinasi COVID-19 dapat merangsang keyakinan perniagaan dan seterusnya menyokong pemulihan ekonomi.

Jelas beliau, Indeks Serentak (IS) juga mengekalkan momentum pertumbuhan tahunan yang positif bagi tiga bulan lalu, namun mencatatkan negatif 3 peratus pada Jun 2021 berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Ujarnya, prestasi IS yang mencerminkan aktiviti ekonomi semasa, terus merosot kepada negatif 6.3 peratus bagi Jun dan Julai berbanding penurunan sebanyak 1.3 peratus yang direkodkan pada bulan sebelumnya, disebabkan penurunan ketara dalam Kapasiti Penggunaan di sektor pembuatan.

Untuk makluman, IP merupakan alat yang digunakan untuk menjangkakan kenaikan dan penurunan ekonomi dalam purata empat hingga enam bulan ke hadapan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas