Berita

Ekonomi China melantun semula: WSJ

- Diterbit 26 Ogos 2020 3:18 AM MYT

CHINA mula mendapat momentum untuk pemulihan ekonominya sekaligus membolehkan negara ini merapatkan jurangnya dengan ekonomi Amerika Syarikat (AS), memetik artikel, “China’s Economy, Bouncing Back, Gains on the US” diterbitkan di Wall Street Journal pada Selasa.

Menurut Agensi Berita Xinhua, China satu-satunya ekonomi utama yang dijangka berkembang tahun ini.

JP Morgan baru-baru ini meningkatkan ramalan pertumbuhan China 2020 kepada 2.5 peratus berbanding 1.3 peratus pada April. Ahli ekonomi di Bank Dunia dan di tempat lain turut meningkatkan ramalan mereka.

China, ekonomi kedua terbesar di dunia dari segi Keluaran Dalam Negara Kasar, perlahan-lahan mengejar AS. Menurut ahli ekonomi, pemulihan yang pantas daripada wabak COVID-19 akan membantu mempercepatkan lagi proses itu.

Felow kanan ekonomi dan pembangunan global di Brookings Institution, Homi Kharas, berkata COVID-19 meletakkan ekonomi China pada landasan tepat untuk mencapai keseimbangan dengan AS pada 2028, dengan menggunakan dolar semasa, dua tahun lebih cepat berbanding anggaran pra-COVID-19.

“China akan bangkit lebih kuat sebagai ekonomi terbesar di dunia membangun,” kata Kharas.

Kilang-kilang China yang pertama di dunia dibuka semula pada April, membantu China merebut pasaran perdagangan global.

Syarikat dari Marriott International Inc. hingga Starbucks Corp. melaporkan pertumbuhan suku kedua yang kukuh di China, ketika seluruh dunia mengalami kemunduran.

Menurut artikel itu lagi, sebelum COVID-19, Deutsche Bank menganggarkan ekonomi China akan mengalami pertumbuhan sekitar 26 peratus antara 2019 dan 2023, berbanding 8.5 peratus untuk AS dalam tempoh yang sama.

Sekarang, dengan mengambil kira kesan wabak itu, bank menjangkakan pengembangan ekonomi China pada tahap sederhana sehingga 24 peratus antara 2019 dan 2023, sementara AS meningkat sebanyak 3.9 peratus – kurang separuh daripada unjuran asal.

Namun, China masih menghadapi masalah. Ini bergantung kepada eksport untuk kira-kira seperlima daripada output ekonominya, menjadikannya mengharapkan kepada pelanggan di AS dan Eropah untuk mengatasi virus tersebut. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas