Berita

Edible Garden tampil unik di bangunan DBKL

KOBIS yang ditanam lebih segar dan bebas racun berbahaya.
- Diterbit 30 Ogos 2020 2:12 AM MYT

SEJAJAR dengan Pelan Induk Masyarakat Rendah Karbon Kuala Lumpur 2030 (LCSBP 2030), Edible Garden diwujudkan dengan penglibatan kakitangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam menggunapakai tapak di podium Aras 2, Menara 2 DBKL bagi penanaman pokok.

Projek taman bandar tersebut dikendalikan Kelab KL Hijau Jabatan Perancangan Bandaraya DBKL yang kini dikenali sebagai Kelab Kebun Bandar DBKL (KEKEBUN DBKL).

Difahamkan, Edible Garden dirasmikan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan pada 4 November 2019 iaitu tarikh bersempena tuaian pertamanya.

NOR HASHIDA

Timbalan Pengarah, Unit Mampan, Jabatan Perancangan Bandaraya DBKL, Nor Hashida Harun berkata, menariknya projek yang menggunakan kaedah fertigasi tanpa racun berbahaya tersebut diwujudkan dengan menggunakan sumber kewangan daripada 12 ahlinya sebagai tanda sokongan ke arah bandar hijau.

“Ahli yang juga kakitangan DBKL bersama-sama menyokong aspirasi kerajaan, malah Edible Garden merupakan pertanian bandar pertama yang dijalankan di atas bumbung agensi kerajaan di Kuala Lumpur dengan keluasan 6,056 kaki persegi.

“Dengan konsep yang diperkenalkan itu, DB-KL diangkat sebagai ‘guru’ dan menjadi rujukan beberapa agensi lain seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Cafe berdekatan juga menyatakan hasrat untuk membeli hasil tuaian kerana kita tidak menggunakan racun.

“Ia juga diwujudkan selaras dengan program di bawah inisiatif pertanian bandar yang dianjurkan Local Agenda 21 DBKL yang menggalakkan penglibatan komuniti,” katanya kepada Wilayahku.

Mengulas lanjut, kata Nor Hashida, inisiatif Edible Garden yang dilaksanakan di podium DBKL membuktikan bahawa tapak di atas bangunan juga boleh dijadikan lokasi penanaman bandar.

Menjelas mengenai manfaat tanaman itu, jelasnya yang juga Pengerusi Kelab KL Hijau, kebun yang diwujudkan pada Julai 2019 membolehkan ahli menyediakan sumber makanan segar dan murah di samping menjadi terapi dalam mengurangkan tahap tekanan dan memupuk semangat muafakat serta kepimpinan.

Tambah beliau, keunikan Edible Garden adalah lokasinya yang terletak di atas podium bangunan pejabat kerajaan di samping mempunyai pelbagai jenis tanaman sayuran.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas