Berita

E-mail menteri mohon lesen Syed Al-Kadir bersyukur dapat berniaga

MENTERI Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa (kiri) menyerahkan surat tawaran dan lesen berniaga kepada Syed Al-Kadir pada Rabu.
- Diterbit 14 Ogos 2021 8:30 AM MYT

GALAKAN untuk memulakan perniagaan dalam kalangan warga kota di Wilayah Persekutuan sentiasa diberikan malah pelbagai inisiatif yang diperkenalkan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) telah membantu ramai peniaga kecil untuk meneruskan kehidupan dalam musim yang mencabar ini.

Melalui Wilayah Bebas Berniaga (WBB) yang diilhamkan oleh Menterinya, Tan Sri TPr Annuar Musa tahun lalu dilihat mampu menyambung nyawa golongan berpendapatan kecil untuk memperolehi pendapatan dengan menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan.

Seorang peniaga, Syed Al-Kadir Syed Al Abdul, 48, yang menetap di Taman OUG, Jalan Kelang Lama menyifatkan pemberian lesen niaga dalam musim pandemik amat bermakna kerana ia dapat membantunya untuk mencari rezeki.

“Ini merupakan percubaan pertama untuk berniaga dan saya memilih perniagaan makanan dan minuman sebagai permulaan.”

“Insya-Allah, gerai ini akan memulakan operasi selewat-lewatnya awal September ini selepas semua urusan diselesaikan selain kawasan yang dipilih akan dibersihkan terlebih dahulu kerana ia kawasan semak samun,” katanya kepada Wilayahku pada Khamis.

Bercerita lanjut, Syed Al-Kadir berkata, beliau telah menghubungi Menteri Wilayah Persekutuan melalui email untuk memohon lesen perniagaan di samping turut meminta pertimbangan untuk beroperasi lebih masa.

“Saya menghantar email kepada Tan Sri Annuar untuk minta tolong mendapatkan lesen berniaga kerana waktu PKP ini, masa operasi berniaga terlalu singkat.

“Saya mengemukakan rayuan dan menteri telah mempertimbangkan. Beliau turut memberitahu kepada Pengarah Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Perniagaan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) supaya diberikan masa untuk beroperasi awal sedikit dan tutup lewat iaitu bermula pukul 6 pagi sehingga 11 malam.

“Walau bagaimanapun, untuk tempoh PKP ini, saya di minta untuk menangguhkan seketika hasrat tersebut dan perlu akur kepada arahan yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya.

Beliau yang juga bekas penjawat awam berkata, sekalipun belum pernah berniaga, namun beliau mempunyai pengalaman di dalam bidang tersebut ketika membantu rakan-rakannya menjalankan perniagaan.

“Sebelum ini saya pernah membantu rakan-rakan lain dalam perniagaan dan untuk berniaga sendiri saya tidak kekok kerana sudah mempunyai pengalaman serta sudah bersedia dari segi mental dan fizikal untuk berhadapan dengan cabaran dalam perniagaan.

“Saya memohon lesen lebih awal kerana hendak berniaga secara betul dan untuk mengelakkan masalah dengan pihak DBKL sekiranya berniaga tanpa kebenaran dan dengan lesen yang sah,” katanya.

Katanya lagi, Tan Sri Annuar Musa sempat berpesan kepadanya untuk menjalankan perniagaan dengan baik dan beliau turut menitik beratkan kebersihan di kawasan perniagaan bagi mengelakkan masalah.

“Selain itu Tan Sri turut berkata, pihak DBKL akan menyelia kawasan tersebut dan untuk permulaan tempoh lesen yang diberikan adalah enam bulan sahaja dan selepas itu, untuk pembaharuan lesen akan diberikan secara tahunan,” katanya mengakui terkejut menerima lesen itu daripada Annuar sendiri. — WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas