Berita

Duta Poland sasar meterai MoU pendidikan tinggi dengan Malaysia pada 2021

- Diterbit 14 Oktober 2020 4:23 AM MYT

KEDUTAAN Poland di Malaysia berhasrat untuk memeterai memorandum persefahaman (MoU) mengenai pendidikan tinggi dengan Malaysia pada tahun depan sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik kedua-dua negara, kata Duta Krzysztof Dębnicki.

Beliau berkata MoU itu bakal menyediakan kaedah bagaimana untuk meningkatkan kerjasama termasuk biasiswa kepada pelajar program pertukaran serta program tambahan dalam pendidikan dan budaya.

“Ia berkaitan memberi peluang kepada pelajar. Kini, kami sedang menunggu draf daripada pihak Malaysia. Semoga kita dapat menandatanganinya pada tahun depan sempena 50 tahun hubungan diplomatik,” katanya kepada Bernama dalam wawancara di Kedutaan itu baru-baru ini.

Dębnicki berkata, kira-kira 30 universiti Poland akan menyertai webinar “Edisi Pertama Pameran Pendidikan Maya Poland 2020” pada bulan ini, diadakan khusus untuk pelajar Malaysia – dianjurkan Badan Nasional Pertukaran Akademik Poland (NAWA) di bawah Kementerian Sains dan Pengajian Tinggi bagi mempromosi pendidikan tinggi di negara itu.

Peserta berpeluang mendapatkan lebih banyak maklumat mengenai Poland sebagai destinasi pendidikan.

Maklumat terperinci acara itu boleh didapati di laman web Kedutaan dan di media sosial.

“Setiap tahun, bertambah ramai pelajar asing memilih Poland untuk mendapatkan pendidikan berkualiti tinggi. Pelajar tertarik dengan pelbagai program yang ditawarkan universiti di Poland, yuran pengajian dan kos sara hidup yang rendah berbanding di Malaysia,” tegas Dębnicki.

Duta Besar berkata pada masa ini terdapat kira-kira 180 pelajar Malaysia menuntut di Poland, separuh daripadanya dalam bidang perubatan.

Terdapat juga peningkatan minat dalam kalangan penuntut Malaysia untuk belajar di politeknik di Poland, katanya, sambil menambah semakin banyak universiti di Poland menawarkan kursus dalam bahasa Inggeris.

Menurut anggaran Kedutaan, kini terdapat lebih 1,000 siswazah Malaysia merupakan lulusan universiti di Poland.

“Tahun lalu, kami menganjurkan edisi pertama” Malaysian Alumni of Polish Universities ‘Get-Together ” yang dianggap berjaya. Kami berhasrat meneruskannya,” katanya.

Dębnicki berkata walaupun berlaku pandemik COVID-19, pelajar Malaysia dibenarkan memasuki Poland tanpa sebarang halangan untuk meneruskan pengajian.

Poland dan Malaysia menjalin hubungan diplomatik pada 21 Jun 1971. Pejabat Dagangan Komersial Poland dibuka di Kuala Lumpur pada 1972 dan dinaikkan taraf menjadi Kedutaan pada tahun berikutnya.

Sementara itu, Kedutaan Besar Malaysia di Warsaw ditubuhkan pada 4 November 1978. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas