Berita

Dunia perlu pendekatan baharu tangani COVID-19: Hishammuddin

MENTERI Luar Datuk Hishammuddin Hussein berkata dunia perlu pendekatan baharu dalam menangani COVID-19 ketika muncul varian-varian yang menyebabkan kes meningkat di seluruh dunia dalam Mesyuarat Khas Menteri-menteri Luar Asean-Rusia yang diadakan secara maya hari ini. Kredit foto: The Malaysian Insight
- Diterbit 7 Julai 2021 6:42 AM MYT

DUNIA memerlukan pendekatan baharu dalam menangani COVID-19 susulan kemunculan varian-varian baharu yang menyebabkan peningkatan kes di seluruh dunia, kata Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Melalui hantaran di laman Facebook rasminya, beliau berkata perkara itu disampaikannya semasa Mesyuarat Khas Menteri-menteri Luar ASEAN-Rusia yang diadakan secara maya petang hari Selasa.

“ASEAN-Rusia banyak fokus terhadap usahasama menangani COVID19 sejak setahun lalu,” katanya.

Dalam konteks isu-isu serantau, Hishammuddin menekankan pandemik COVID-19 meningkatkan persaingan kuasa-kuasa besar dunia serta melemahkan sistem pelbagai hala.

“Dalam hal ini, ASEAN mesti kekal sebagai teras Asia Pasifik manakala Rusia mesti terus menyokongnya demi keamanan serta kestabilan di rantau ini,” katanya.

Mesyuarat khas itu dipengerusikan secara bersama oleh Menteri Luar Indonesia Retno Marsudi dan Menteri Luar Rusia Sergey Lavrov. — BERNAMA

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas