Berita

Dua warga Bangladesh positif COVID-19 cuba keluar negara melalui KLIA

- Diterbit 18 Januari 2021 11:17 AM MYT

DUA warga Bangladesh yang positif COVID-19 dikesan cuba meninggalkan negara ini dengan menaiki penerbangan ke Dhaka semalam melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini

Kedua-dua lelaki dalam usia 20-an itu dikesan positif COVID-19 berdasarkan slip ujian saringan yang dikemukakan mereka ketika melakukan proses daftar masuk di kaunter.

Menyedari status mereka, petugas kaunter di lapangan terbang berkenaan telah memaklumkan perkara tersebut kepada polis.

Ketua Polis Daerah KLIA ACP Imran Abd Rahman yang mengesahkan perkara itu ketika dihubungi hari ini berkata pihaknya menghubungi Kementerian Kesihatan serta menyerahkan kedua-dua lelaki itu kepada pihak kementerian itu dan kini difahamkan mereka menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh.

Beliau berkata kedua-dua lelaki itu yang merupakan pekerja swasta dan mempunyai dokumen pengenalan diri sah, tidak seharusnya menaiki pesawat ketika positif COVID-19 kerana dibimbangi akan menjangkiti penumpang lain. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas