Berita

Dua tahun tidak bekerja akibat COVID-19

MOHD IRWAN menyerahkan sumbangan kepada salah seorang penerima sumbangan bantuan Bakul Makanan sambil disaksikan Ketua Pegawai Eksekutif YWP, Zaizalnizam Zainun (tengah). MOHD IRWAN menyerahkan sumbangan kepada salah seorang penerima
- Diterbit 27 Ogos 2021 2:57 AM MYT

ALHAMDULILLAH… Saya sangat bersyukur atas sumbangan ini kerana ramai lagi yang lebih susah daripada saya,” itulah luahan warga emas, Mohamad Nor, 67, yang juga orang kelainan upaya (OKU) penglihatan selepas menerima sumbangan bantuan Bakul Makanan daripada RumahPrihatin@GrandSeasons.

Mohamad yang menetap di Perumahan Awam (PA) Seri Pulau Pinang mengakui terharu dengan sumbangan daripada Rumah Prihatin kerana sudah dua tahun tidak dapat bekerja seperti biasa.

“Sebelum ini, saya berikhtiar dengan menjaja tisu dari meja ke meja bagi memperoleh pendapatan yang cukup untuk menampung kehidupan bersama keluarga.

“Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan tahun lalu, pak cik sudah tidak dapat bekerja dan hanya bergantung kepada bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta Baitulmal.

“Melalui sumbangan hari ini, saya amat bersyukur kerana ramai lagi yang terhimpit dan sukar untuk meneruskan kehidupan sepanjang tempoh penularan COVID-19 ini,” katanya kepada Wilayahku pada Ahad.

Mohamad berkata, dia turut bersyukur dengan keprihatinan Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) dan Rumah Prihatin yang tidak melupakan golongan senasib dengannya.

“Saya gembira kerana kita dikurniakan pemimpin yang ingat kepada rakyat terutamanya golongan cacat penglihatan seperti saya, agar tidak tersisih,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif RumahPrihatin@GrandSeasons, Datuk Mohd Irwan Rizal Mohd Ali Napiah berkata, program ini merupakan siri ketiga dianjurkan bersama Rumah Prihatin yang diasaskan oleh bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa dengan kerjasama YWP.

“Kita memberikan bantuan dengan niat untuk mengurangkan bebanan yang ditanggung golongan ini. Jadi kita dapat beberapa maklum balas dan perkongsian daripada wakil kepada golongan ini yang meminta agar mereka tidak disisihkan pihak kerajaan.

“YWP tidak akan sisihkan mereka sebaliknya, akan diberi perhatian secara khusus oleh kerajaan dan kita ingin menjemput semua warga kota, pihak korporat dan mana-mana individu yang berkemampuan untuk tampil membantu mereka,” katanya.

Ujar Irwan, semangat yang ditunjukkan golongan OKU penglihatan ini yang mahu hidup bebas seperti orang lain amat terpuji dan kerajaan harus membantu mereka menjalani kehidupan yang lebih baik.

“Sempena Hari Kemerdekaan, mereka berazam mahu hidup bebas dan merdeka seperti rakyat Malaysia yang lain, jadi disebabkan itu kita harus bersama-sama bersatu untuk membantu golongan ini kerana mereka mempunyai semangat untuk meneruskan kehidupan meskipun berhadapan cabaran ketika pandemik ini.

“YWP juga akan memastikan golongan ini akan dibantu sewajarnya kerana mereka sememangnya layak untuk bantuan-bantuan kerajaan dan YWP turut akan menjadi pemudahcara terhadap apa jua keperluan mereka,” katanya. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas