Utama

Dua penjenayah rompak dobi layan diri awal pagi

- Diterbit 21 November 2019 9:40 AM MYT

Oleh NAZWIN NAZRI
[email protected]

AMPANG – Sebuah Kedai Dobi Layan Diri De’Tasek di sini dirompak dua penjenayah awal pagi tadi.

Kejadian tersebut disedari pemiliknya, Mohd. Khairul Adha M. Khalid, 35, kira-kira pukul 8 pagi tadi selepas dihubungi ibunya yang mengatakan pelanggan tidak dapat menukar duit kertas.

“Selepas menerima panggilan telefon, saya bergegas ke kedai dobi dan membuka pintu pejabat untuk memeriksa keadaan mesin tukar wang.

“Sebaik memeriksanya saya mendapati bahagian belakang pintu besi telah terkopak. Bagi mendapat kepastian lanjut, saya memeriksa di bahagian belakang pejabat dan mendapati pintu belakang telah roboh,” katanya ketika dihubungi Wilayahku.

Menurut Mohd. Khairul Adha, dia kemudian melihat kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di sekitar kedai dobi dan mendapati kedainya dobinya dirompak oleh dia lelaki yang menaiki motosikal berasingan.

Jelasnya, sebelum kejadian, kedua-dua penjenayah terbabit berada di restoran bersebelahan kedai dobinya.

“Menerusi rakaman CCTV, mereka dah bersedia di pintu hadapan. Kemudian, seorang bergerak ke belakang dan mengopek pintu kedai,” ujarnya yang membuat laporan polis pada pukul 10 pagi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner, Noor Azmi Yusoff mengesahkan menerima laporan pecah kedai pagi tadi. WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas