Berita

2 GOL KAKI KIRI SAFAWI BENAM GARUDA

- Diterbit 20 November 2019 3:02 AM MYT

Oleh MUHAMAD NABEEL

KUALA LUMPUR – Harimau Malaya benam Garuda! Hampir 80,000 ribu penyokong Malaysia-Indonesia menjadi saksi kemenangan penuh bergaya skuad bimbingan Tan Cheng Hoe membenam pasukan Indonesia 2-0 dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional, Bukit Jalil semalam.

Malam gemilang Harimau Malaya bermula apabila Safawi Rasid berjaya menyempurnakan sepakan percuma yang melencong masuk ke sebelah kiri gawang gol Indonesia sekalo gus menewaskan penjaga gol, Muhammad Ridho pada minit ke-30.

Sebelum itu, gawang pasukan Malaysia hampir dibolosi pemain Indonesia menerusi serangan balas pantas namun penjaga gawang Malaysia, Khairul Azhan berjaya mengekang serangan pantas tersebut.

Namun, Khairul Azhan terpaksa dikeluarkan apabila mengalami kekejangan otot dan digantikan dengan penjaga gol berpengalaman, Farizal Marlias.

Safawi Rasid sekali lagi menghukum kealpaan benteng pertahanan Indonesia yang diketuai Yanto Basna apabila berjaya melepaskan satu rembatan kencang pada minit ke-73 ke gawang gol Indonesia. Gol hadir menerusi hantaran Syahmi Safari yang berjaya membelah benteng pertahanan Indonesia.

Peluang terbaik pasukan Indonesia merapatkan jurang jaringan hadir pada minit ke-83 apabila dihadiahkan sepakan penalti namun Osas Saha gagal menyempurnakan sepakan penalti tersebut yang ditangkap kemas oleh Farizal Marilas.

Ketua Jurulatih, Tan Cheng Hoe berkata, bukan mudah untuk bermain menentang Indonesia kerana mereka mempunyai set pemain yang berbeza dan turut membuat persediaan awal di samping mempunyai rehat yang cukup.

“Kami semua positif, kita perlu fokus baki 3 perlawanan pada tahun hadapan. Kita masih ada peluang serta perlu menetapkan sasaran dan bercita-cita tinggi untuk berada di kedudukan terbaik dalam kumpulan,” katanya.

Kemenangan ini turut menyaksikan Malaysia naik ke tangga ke-2 kumpulan G dibelakang Vietnam dengan 9 mata selepas 5 perlawanan. Sementara itu, pasukan Vietnam terus mendahului kumpulan apabila sekadar seri 1-1 bertemu pasukan Thailand manakala pasukan UAE tidak bermain. Perlawanan seterusnya bagi pasukan negara adalah pada 26 Mac 2020 bertemu UAE. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas