Berita

Dua beradik curi lambang kereta hakim untuk dijadikan hadiah ditahan polis

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 12 Januari 2024 1:40 PM MYT

TINDAKAN dua remaja lelaki yang merosakkan lambang “hakim” pada kenderaan rasmi milik seorang Hakim Mahkamah Persekutuan untuk dihadiahkan kepada abang mereka, membawa padah selepas ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata tangkapan dibuat selepas pihaknya menerima laporan daripada pemandu hakim terbabit berusia 30 tahun yang menyedari kenderaan tersebut digores dengan benda tajam dan nombor pendaftaran serta lambang ‘hakim’ dicabut kira-kira 8.30 malam pada Ahad lepas, semasa kereta tersebut diparkir di tepi jalan di Taman Koperasi Polis Fasa Dua di sini.

Menurutnya semakan rakaman kamera litar tertutup di sekitar lokasi kejadian mendapati dua beradik berusia 15 tahun itu menconteng permukaan kereta tersebut menggunakan batu dan mengaku dengan sengaja mematahkan lambang hakim di kereta terbabit ketika dalam perjalanan pulang ke rumah setelah selesai bermain bola di padang berhampiran.

“Siasatan mendapati remaja itu bertindak mencabut lambang ‘hakim’ untuk dihadiahkan kepada abang mereka yang akan menyambut hari kelahiran pada Mac ini.

“Dua remaja terbabit ditahan di rumah mereka di Batu Caves, Selangor Isnin lepas dan dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangan mereka diambil serta tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di sini, hari ini.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun keseksaan.

Sementara itu, dua lelaki ditahan kerana disyaki aktif dalam kegiatan samun berkumpulan di ruangan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di sekitar ibu negara dan Perak.

Ahmad Sukarno berkata kedua-dua suspek ditahan di kediaman masing-masing di Perak dan Pahang pada 4 dan 6 Jan lepas.

“Tangkapan dibuat susulan laporan polis yang diterima kira-kira 12.09 tengah malam pada 28 Dis lepas daripada lelaki berusia 30 tahun berkaitan kejadian samun mendatangkan kecederaan di ruang mesin ATM di sebuah bank di Kepong.

“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek aktif dalam jenayah itu sejak 2020 dan mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau berkaitan kes samun serta direman tujuh hari sehingga esok,” katanya.

Beliau berkata dengan tertangkapnya kedua-dua suspek itu, pihaknya berjaya menyelesaikan enam kes samun berkumpulan sehingga mendatangkan kecederaan di Kuala Lumpur dan 28 kes di Perak.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan sehingga menyebabkan kecederaan. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas