Berita

Dr Daud Bakar dilantik Pengerusi MAIWP yang baharu

- Diterbit 17 Februari 2021 2:29 PM MYT

PENGERUSI Majlis Penasihat Shariah Bank Negara Malaysia, Datuk Dr Mohd Daud Bakar, 57, dilantik sebagai Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang baharu.

Dalam hantaran di laman Facebooknya, beliau telah mendapat perkenan untuk menghadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berhubung pelantikan beliau sebagai Pengerusi MAIWP di Istana Negara hari ini.

“Sesungguhnya tanggungjawab memimpin sebuah organisasi yang besar dan berimpak tinggi ini adalah mencabar.

“Semoga saya diberikan kecekalan minda, kebijaksanaan zaman dan yang lebih penting lagi taufiq dan hidayah daripada Allah SWT Yang Maha Berkuasa atas segala sesuatu,

“Patik menjunjung kasih, Tuanku.” katanya.

Daud menggantikan Datuk Seri Syed Hussein Al-Habsyi yang sebelum ini memegang jawatan itu dari 1 Januari 2019 sehingga 31 Januari 2021.

Daud yang juga Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) merupakan Pakar Kewangan Islam Antarabangsa dan telah dianugerahkan sebagai Tokoh Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan pada tahun 2014.

Beliau turut menerima “Anugerah Ekonomi Islam”, yang disampaikan oleh Naib Presiden dan Perdana Menteri Emiriah Arab Bersatu (UAE) Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum.

Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) itu juga banyak menganggotai Badan Penasihat Syariah institusi kewangan Islam di dalam dan luar negara dan turut mengasaskan syarikat khidmat nasihat kewangan Islam, Amanie Advisors. – AZLAN ZAMBRY – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas