Biz

DPIM Putrajaya terus memperkasa pembangunan usahawan

- Diterbit 11 Februari 2024 12:22 PM MYT

DEWAN Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) Putrajaya berjanji untuk meneruskan agenda pada tahun ini untuk memperkasakan golongan usahawan dengan pelbagai ilmu digital selaras dengan perkembangan semasa.

Pengerusinya, Datuk Seri Muhamad Khanafi Husin berkata, pihaknya percaya usahawan hari ini telah bersedia untuk menceburkan diri kerana dunia telah menjadikan digital sebagai hab utama perniagaan terutama dalam bidang pemasaran dan pembiayaan.

“Sejak beberapa tahun kebelakangan ini para usahawan semakin celik digital kerana banyak membantu mereka berurusan dengan lebih mudah malah perkembangan tersebut  sesuai dengan aliran terkini.

“Lebih daripada itu membantu mereka mempromosi produk dan barangan dagangan lebih sistematik di pasaran lebih luas dengan mengadaptasi model perniagaan dalam talian.

“Sehubungan dengan itu, sempena Karnival Borneo Songket Heritage 2024, anjuran Pertubuhan Wanita Pawana, DPIM Putrajaya mengambil inisiatif bergabung dengan mengadakan program celik digital di pentas terbuka secara percuma khusus untuk usahawan,” ujarnya.

PENGERUSI DPIM Putrajaya, Datuk Seri Muhammad Khanafi Husin (duduk kiri) dan Pengasas Yayasan Kebajikan Adam, Syahrizal Abd Samad (duduk kanan), disaksikan oleh Presiden DPIM , Mohammad Sahar Mat Din ( berdiri tengah) ketika menandatangani MOU sempena Karnival Borneo Songket Heritage di MATIC, baru-baru ini. 

Beliau berkata demikian selepas ditemui dimajlis makan malam sempena karnival yang diadakan selama tiga hari pada  hujung minggu lalu di tapak Lanai, MATIC, Kuala Lumpur.

Hadir sama Presiden DPIM Mohammad Sahar Mat Din, Pengerusi Pertubuhan Wanita PAWANA , Fauzilah Zaiful Yazan dan Pengasas Yayasan Kebajikan Adam (Yayasan Adam), Syahrizal Abd Samat.

Khanafi menambah, penganjuran program celik digital mendapat sambutan baik kerana umum sedia maklum, perniagaan digital semakin penting buat masa kini.

“Melalui program yang diadakan temasuk taklimat geran, pemasaran digital melalui Tik Tok, permohonan geran halal, SME Corp dan tukar invois kepada tunai telah membuka peluang orang ramai mendapat input penggunaan medium yang tepat dan betul dalam urusan perniagaan.

“Seiring dengan itu juga diadakan program motivasi usahawan  yang mana di antara DPIM Putrajaya dengan Pertubuhan Wanita PAWANA telah diadakan Memorandum Persefahaman (MOU).

“Ini bermakna program berkaitan pembangunan usahawan menjadi agenda utama ke dua-dua belah pihak khususnya dalam bidang kebajikan, promosi dan pengembangan perniagaan,” katanya.

Menurut Fauzilah, salah satu objektif  karnival tersebut diadakan untuk menyokong usahawan di kalangan Orang Kelainan Upaya (OKU) yang turut mengambil bahagian memasarkan produk keluaran masing-masing.

“Sepanjang karnival berlangsung, sebanyak 120 tapak gerai disediakan dengan menawarkan pelbagai produk kering, basah dan jualan makanan yang ada di kalangan mereka adalah peniaga OKU.

“Ia sebahagian daripada usaha pertubuhan ini membantu golongan tersebut untuk berdaya saing secara sihat, meningkatkan keyakinan diri kerana ramai di kalangan mereka sangat aktif meniaga dan mampu berdikari.

“Dijangkakan MOU dengan DPIM Putrajaya akan memberi manfaat kepada banyak pihak kerana kami telah bersetuju untuk bekerjasama dengan menggunakan sumber masing-masing bagi menjayakan program-program yang bakal dilaksanakan”, katanya.

Sementara itu, satu lagi MOU telah ditandatangani di antara DPIM Putrajaya dengan Yayasan Adam yang menjurus kepada program pembangunan usahawan dalam kebajikan dan pendidikan.

Pengasasnya, Syahrizal Abd Samat berkata, karnival yang mengangkat usahawan di kalangan OKU sangat dialu-alukan dan menjadi inspirasi kepada orang ramai,  kekurangan tidak membataskan mereka berusaha menjana pendapatan malah berjaya mengeluarkan produk sendiri.

“Sebagai yayasan yang mendukung kerja-kerja kebajikan merentasi negara nusantara, kami juga bersedia melibatkan diri dengan kumpulan Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan mana-mana agensi lokal.

“Lebih lima tahun dalam kerja – kerja mengupayakan kemanusiaan, Yayasan Adam banyak terlibat dalam aktiviti  kebajikan termasuk membina telaga untuk membekal air bersih termasuk di Kemboja dan Filipina terutama di wilayah Mindanao.

“Kami juga terlibat dengan pembinaan sekolah di pendalaman Kota Kinabalu Sabah dengan mengupah beberapa orang guru di sana sebagai usaha menyalur asas pembelajaran kepada anak-anak di usia kecil. Di samping memberi kesedaran asas pendidikan Islam supaya apa juga penyebaran dari agama lain mereka sudah faham.

“Melalui kolaborasi yang ditandatangani, kami percaya akan menyokong jihad ekonomi yang diperjuangkan oleh DPIM selama ini di samping melebar luaskan aktiviti.

“Antaranya mewujudkan lebih 10 kawasan baharu tapak jualan car boot dalam tempoh lima tahun di Selangor, antaranya di Rekascape Cyberjaya dan di Shah Alam”,katanya.

Untuk maklumat lanjut DPIM boleh dihubungi di talian 0132286769 (Sue) – WILAYAHKU

 

 

 

 

 

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas