Biz

DPIM Putrajaya buka peluang usahawan Selangor eksport produk ke Eropah

Datuk Seri Muhamad Khanafi Husin (empat dari kiri) bersama beberapa ahli bergambar bersama Exco Agama
- Diterbit 14 Ogos 2022 2:18 PM MYT

SEBANYAK RM 20 juta jualan disasarkan untuk pasaran Eropah yang melibatkan 20 usahawan yang mempunyai produk sedia untuk dieksport pada penghujung tahun hadapan apabila Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) Putrajaya menjalin kerjasama dengan para usahawan Selangor.

Kesepakatan itu dicapai hasil perbincangan antara kedua-dua belah pihak ketika DPIM mengadakan kunjungan hormat ke Pejabat Ahli Mensyuarat Kerajaan Negeri Selangor di sini baru-baru ini.

PENGERUSI DPIM Putrajaya, Datuk Seri Muhamad Khanafi Husin (empat dari kiri) bersama beberapa ahli bergambar bersama Exco Agama, Halal dan Hal Ehwal Pengguna, Mohd Zawawi Ahmad Mughni ketika mengadakan kunjung hirnat ke Pejabat Ahli Mesyuarat Kerajaan Selangor baru-baru ini.

Pengerusinya Datuk Seri Muhamad Khanafi Husin berkata, hasil lawatan dan pertemuan dengan Exco Agama, Halal dan Hal Ehwal Pengguna, Mohd Zawawi Ahmad Mughni, kedua-dua belah pihak bersetuju untuk bertukar-tukar maklumat atau kaedah yang lebih tepat mengeskport produk ke luar negara.

“Dalam perjumpaan itu, pihak kerajaan negeri bersetuju untuk berkongsi data usahawan halal di negeri tersebut khususnya produk makanan serta minuman dan telah bersedia untuk dieskport.

“Kehadiran kami membawa misi memperkenalkan kaedah baharu yang lebih tepat, menjimatkan dan berbaloi.

“Ini kerana langkah membawa para usahawan melalui Misi Perdagangan ke luar negara sebelum ini sesetengahnya menemui kegagalan.

“Misalnya usahawan-usahawan pernah dibawa ke luar negara antaranya ke Indonesia, Turkiye, Kazakhstan, Iran, Jepun dan Singapura namun usahawan terbabit tidak berpeluang mengembangkan perniagaan kerana tidak ada pembeli berpotensi.

“Sehubungan itu, DPIM mengubah strategi dengan Memeterai Perjanjian Persefahaman (MOU) dengan World Integrated Supply Ecosystem Sdn Bhd (WISE).

“WISE merupakan syarikat tempatan bertaraf global dengan mempunyai rangkaian niaga antarabangsa bagi pasaran di negara-negara Eropah terutama import dan eksport produk makanan halal,” katanya ketika ditemui selepas lawatan.

PENGERUSI DPIM Putrajaya, Datuk Seri Muhamad Khanafi Husin (kiri) bersama Exco Agama, Halal dan Hal Ehwal Pengguna, Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

Khanafi menambah, kerjasama DPIM dan WISE membuka peluang usahawan tempatan termasuk usahawan dari Selangor mengembangkan perniagaan ke seluruh pelosok dunia untuk memenuhi pasaran produk halal dengan prosedur yang telus dan berpanjangan.

“Sehubungan dengan itu, antara agenda lawatan DPIM adalah untuk menarik usahawan Selangor menyertai usaha sama yang ditawarkan bagi tujuan melebarkan jaringan perniagaan mereka ke peringkat global.

“DPIM akan mengenal pasti syarikat yang mempunyai produk dan bersedia untuk diekport. Bukan itu sahaja, DPIM turut melihat kesesuaian dengan pembeli sedia ada dengan mewakilkan WISE sebagai trading house.

“Kaedahnya WISE akan membeli produk para usahawan dan memasarkan secara terus ke negara Eropah,” ujarnya.

Beliau menambah, kaedah tersebut dijangka lebih menguntungkan kedua-dua belah pihak dan pantas kerana usahawan tidak perlu mengeluarkan kos perbelanjaan melalui Misi Dagang ke negara terbabit yang tidak menjamin wujudnya urusan jual beli.

“DPIM membuka jalan agar para usahawan Selangor mengambil peluang tersebut untuk berada dalam industri berkaitan yang kini dilihat semakin berkembang pesat.

“Sehingga kini WISE telah mengeskport lebih 100 produk halal dari Malaysia ke pasaran Eropah antaranya produk keluaran Marigold, Yeos, Malaya Pop, F& N dan Brahim,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas