WK2

Diplomasi budaya dalam lukisan seni mural, digital

PAMERAN Hallyu: Korean Wave menampilkan hasil seni pengkarya terkemuka dari Republik Korea iaitu Jin Youngsun, O Eunseuk dan Park Kyudong serta Bu Kyunghee.
- Diterbit 19 Mei 2023 12:00 PM MYT

PAMERAN Hallyu: Korean Wave merupakan inisiatif Balai Seni Negara ke arah membina keakraban antarabangsa menerusi usaha diplomasi budaya melalui hiburan dan kesenian malah ia juga turut menampilkan hasil seni pengkarya terkemuka dari Republik Korea iaitu Jin Youngsun, O Eunseuk dan Park Kyudong serta Bu Kyunghee.

Menariknya, karya yang dipamerkan itu diinspirasikan daripada lenggokkan tarian Origin Of Hallyu Dance yang dipersembahkan kumpulan terkenal di Korea, BTS menerusi persembahannya dan diterjemahkan secara mural lukisan dinding serta teknologi visual.

Menurut Ketua Kurator Kanan, Seksyen Perkhidmatan Pameran, Balai Seni Negara, Faridah Hanim Abd Wahab, Jin Youngsun merupakan salah seorang penerima Budaya Order Merit (Order Cultural of Merit) yang menjalani latihan sebagai artis Fresco Mural di Ecole Nationale Superieure des Beaux-Arts, Paris dan di ICCROM ROM yang membolehkan beliau menghasilkan semula mural lukisan dinding Goguryeo untuk Muzium Negara Korea pada tahun 1996.

“Jin Youngsun telah mengambil inisiatif mempromosikan budaya Korea melalui lenggokkan tarian
daripada salah seorang ahli kumpulan terkenal di Korea, Jimin BTS menerusi persembahannya di Melon Music Awards pada 2019 ke dalam sebuah lukisan dan menariknya untuk pameran ini, Duta Besar Republik Korea di Malaysia, Yeo Seung Bae sendiri ingin mengangkat karya Jin Youngsun yang buat julung kalinya dipamerkan di Malaysia.

“Kata beliau, ia bukan sahaja unik malah menceritakan tentang usaha yang diambil untuk mempromosikan negara Korea melalui karya seni,” katanya kepada Wilayahku.

Tambahnya lagi, O Eunseuk dan Park Kyudong pula menampilkan projek terbaharu mereka iaitu DaViz yang mana ia menggabungkan lukisanlukisan Jin Youngsun secara data visual dan teknologi terkini seperti CG (Computer Graphic), AI (Artificial Intelligence) dan media immersive.

“Mereka telah menggunakan AI dan teknik visualisasi bunyi untuk menggabungkan tema air manakala
visualisasi bunyi dengan Audio React digunakan di babak tengah bagi tindak balas kepada muzik sebenar. Video ini juga mengandungi tiga babak berbeza,”kongsinya.

Dalam pada itu, pameran Hallyu juga turut menjemput pemenang Anugerah Bakat Muda Sezaman
(BMS21) iaitu Kumpulan Komuniti SeniBatu Belah yang dianggotai oleh 33 orang anak muda untuk menghasilkan karya-karya seni mereka secara kolektif mengikut kreativiti dan konsep yang dibincangkan.

“Kumpulan ini menggunakan pengetahuan dan pengalaman ‘Gelombang Korea’ mereka bagi menterjemah kefahaman berkaitan asimilasi budaya Malaysia-Korea (Assimulation of Korea-Malaysia Culture) ke dalam bentuk visual melalui lima karya yang dipamerkan.

“Antara koleksi yang dihasilkan adalah Lock on Lock; Cyberspace; Import Wave; Sandiwara Anak Korea dan Beauty Perception,” kata beliau.

Menelusuri pameran ini juga, pengunjung akan dipersembahkan dengan sebuah Koleksi Tetap Negara
yang bertajuk Gadis Korea hasil suntikan istimewa daripada pelukis negara, Datuk Hoessein Enas. – WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas