Berita

Difitnah! Pengasas produk ESW kemukakan saman terhadap bekas ejen

|MUHAMMAD Iddin Syah diwakili peguam beliau
- Diterbit 13 April 2021 5:06 AM MYT

PENGASAS produk kecantikan ESW, Muhammad Iddin Syah Mohd Fuzi (Iddin), mengemukakan saman RM1 juta terhadap bekas ejen yang memfitnah dan melemparkan kata-kata kesat kepada beliau.

Tindakan tegas itu diambil bagi membersihkan nama baiknya termasuk pengurusan ESW, kerana beliau berpendapat fitnah adalah satu perbuatan berat dan tidak boleh dipandang remeh.

“Fitnah dan tuduhan tidak berasas yang dilemparkan bukan sahaja mencemarkan nama baik saya, malah reputasi syarikat secara keseluruhannya.

“Tempias ini turut dirasai ejen ESW yang mahu mencari rezeki tetapi kerana fitnah ‘periuk nasi’ mereka terjejas,” katanya ditemui selepas Mahkamah Sesyen & Majisret Butterworth, Pulau Pinang, baru-baru ini.

MUHAMMAD Iddin Syah (tengah) diwakili peguam beliau, Hussin Othman dari syarikat guaman Hussin Othman & Co.

Diwakili peguam beliau, Hussin Othman dari syarikat guaman Hussin Othman & Co , ahli perniagaan berusia 27 tahun itu menjelaskan, isu berkenaan timbul sekitar April 2020 semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang pertama (PKP 1.0).

“Jualan mendadak naik, namun kekangan untuk mendapatkan bekalan produk dari kilang, disebabkan pelaksanan PKP 1.0 yang ketat, menjadi punca utama fitnah ini berlaku.

“Apabila bekalan produk tidak mencukupi dan tidak boleh diproduksikan oleh kilang kerana PKP, saya dan syarikat dituduh makan duit ejen selain dilemparkan dengan kata-kata kesat.

“Peliknya semua ini disebarkan menerusi ruangan whatsapp tanpa bertanyakan secara empat mata atau menulis aduan kepada saya untuk sama-sama menyelesaikan masalah yang timbul,” katanya yang mempunyai sebanyak 20,000 ejen.

Difahamkan kes ini masih lagi berjalan, dan perbicaraan yang ke-2 akan bersambung pada September depan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas