Berita

Dialog Bersama Usahawan Mikro 2023, TikTok Shop platform bantu usahawan

Ts Zahir (tengah) menerima tajaan sokongan kewangan daripada TikTok Shop Malaysia pada sesi Dialog Usahawan Mikro 2023 baru-baru ini.
- Diterbit 29 Disember 2023 9:00 AM MYT

SERAMAI 30 usahawan dalam kalangan peniaga mikro berpendapatan rendah (B40) terpilih untuk mendapat bimbingan dan perkongsian tentang pemerkasaan ekonomi jualan di platform TikTok Shop baru-baru ini.

Menerusi sesi Dialog Bersama Usahawan Mikro 2023 anjuran TikTok Shop Malaysia dan Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP), peserta diberi taklimat dan teknik penggunaan platform tersebut bersama usahawan-usahawan tempatan yang berjaya.

Ketua Perhubungan Strategik TikTok Shop Malaysia, Nur Azre Abdul Aziz berkata bengkel tersebut diadakan untuk memberi inspirasi, bimbingan dan motivasi kepada komuniti B40 dalam usaha mengembangkan pendapatan jualan khususnya menerusi aplikasi penstriman digital.

“Sejak mula beroperasi secara aktif di Malaysia pada April 2012, TikTok Shop berjaya membantu lebih satu juta usahawan dengan peningkatan jualan tahunan sebanyak 187 peratus selain 98 peratus daripadanya adalah peniaga perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

“Perniagaan di TikTok Shop adalah berdasarkan apa yang diminati oleh komuniti. Jadi, kita beri bantuan dan sokongan supaya lebih banyak insentif dapat disalurkan untuk usahawan.

“Penting untuk mereka tahu bagaimana hendak menggunakan teknologi sekali gus memanfaatkannya selain impak berterusan dalam jangka masa panjang,” katanya ketika ditemui media di Kompleks Arena Sukan Kuala Lumpur baru-baru ini.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Wangsa Maju yang juga Ahli Lembaga Pemegang Amanah YWP, Ts Zahir Hassan telah merasmikan program ini dan melalui kerjasama dengan TikTok Shop, beliau berharap lebih ramai peniaga mikro B40 dari Wilayah Persekutuan dapat merasai manfaat daripada perkembangan pesat bidang e-dagang ini serta menjadikan literasi digital sebagai alat utama untuk meningkatkan taraf hidup dan pendapatan.

Sementara itu, salah seorang kreator affiliate yang terkenal dengan gelaran @budokkelate1, Faiq Izzan berkata platform TikTok Shop ini membolehkannya meraih jualan dan menjana pendapatan sebanyak RM400,000 hingga RM860,000 sebulan hasil konsistensi siaran langsung melebihi 12 dan 42 jam.

“Bagi anda yang ingin menceburi bidang ini, saya memang menggalakkan kerana kerja ini tidak susah, tidak perlu duduk tengah panas, anda cuma perlu bercakap dan menjual barang.

“Saya memilih platform ini sebab ia mudah selain kaedah pembayarannya juga sistematik membuatkan pelanggan lebih yakin dan percaya untuk membeli,” katanya yang bermula sekitar Mei lalu.

Dalam perkembangan lain, YWP turut menerima sumbangan wakalah berjumlah RM76,250 daripada zakat perniagaan Volten International, bagi tujuan membantu asnaf yang kurang bernasib baik dan memerlukan bantuan.

Serahan wakalah tersebut disampaikan oleh Pengasas Volten International, Datuk Isamil Che Ani kepada Pengarah Eksekutif YWP, Abdul Rahman Siraj dengan disaksikan oleh wakil PPZ-MAIWP iaitu Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi), Mohammed Hassan di Wisma YWP baru-baru ini. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas