WALAUPUN kita semua masih berjuang dalam menangani pandemik Covid-19, itu bukan penghalang untuk meraikan semangat patriotik dan cintakan negara.
Itulah semangat yang ditunjukkan oleh kumpulan rock legenda Wings yang akan menjayakan Konsert Kita Merdeka 2020 yang bakal berlangsung pada 29 Ogos ini.
Memandangkan kita masih dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), Wings tetap meraikan kemerdekaan walaupun perlu patuh kepada prosedur operasi standard (SOP).
Jadi, Konsert anjuran Sonic Minds Sdn Bhd dan Firm Motion Sdn Bhd itu dipersembahkan secara virtual dalam talian menerusi ‘Live Streaming’ di www.wingskitamerdeka.liveframe.my.
“Sebenarnya kami rasa teruja juga apabila diajak terbabit dalam konsert ini yang julung kali dilakukan oleh Wings.
“Mulanya, saya rasa nak ketawa juga apabila beraksi pada konsert virtual (tanpa penonton di lokasi konsert) yang bagi kami satu perkara baru dan agak mencabar. Namun, bila fikir positif kami sedar hidup perlu diteruskan,” kata vokalis Wings Awie yang mengaku dirinya turut terjejas dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan baru-baru ini.
“Seperti mana juga artis-artis lain terutama penyanyi, saya turut terjejas dengan PKP. Iyalah.. kami tidak boleh membuat persembahan seperti biasa yang melibatkan penonton kerana perlu patuhi SOP.
” Apa- apa pun, keadaan sekarang beransur-ansur kembali kepada asalnya. Para pelakon sudah mula boleh berlakon. Penyanyi pula dibenarkan membuat persembahan cuma tidak boleh melibatkan orang ramai.
” Terima kasih kepada Perdana Menteri Kita, Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana banyak berkorban dan memikirkan kesejahteraan rakyat,” katanya yang mengakui Wings terpaksa membatalkan dan menunda hampir lima persembahan besar mereka akibat Covid-19.

Kena Kreatif Untuk Hidup
Awie mengaku dirinya pasrah dan akur apabila ada beberapa tawaran terpaksa dibatalkan kepada pandemik Covid-19 ini.
“Kami sepatutnya menjayakan dua konsert besar Kuala Lumpur dan di Phuket, Thailand serta persembahan majlis makan malam.
“Saya pernah terfikir juga apa nak jadi ni, tapi akur semuanya ketentuan Allah dan kita kena pasrah dengan apa yang berlaku.
“Tapi dalam masa sama, kita kena juga usaha dan jadi lebih kreatif untuk kesinambungan hidup,” ujar Awie atau nama sebenarnya Datuk Ahmad Azhar Othman,51.
Walaupun tawaran untuk menjayakan konsert ini agak lewat iaitu sekitar Jun lalu, Wings tetap menerimanya agar menjadi ikutan penyanyi-penyanyi lain.
“Ikutkan tawaran ini dah lambat, tapi Wings kena ambil juga kerana biar kami jadi pembuka jalan dan kemudiannya diikuti kumpulan rock lain.
“Wings sebenarnya pernah juga terfikir nak buat konsert secara virtual ini dan ada beberapa tawaran yang datang antaranya konsert secara ‘Live Facebook’.
“Tapi, kami tengok pada penganjur juga dan yang ini di dapati ada pengalaman. Mereka pernah buat konsert besar dan ada rekod bagus. Justeru, kita yakin mereka boleh buat dengan baik dan akhirnya terima tawaran ini,” katanya yang akan turut meraikan barisan hadapan pada konsert tersebut dengan memakai pakaian barisan hadapan untuk satu segmen.
Kepada para peminat yang mahu menyaksikan Konsert Kita Merdeka 2020 bolehlah membeli tiket berharga RM35 menerusi www.galactix.asia. – WILAYAHKU