Biz

Dekorasi hiasan khemah jadi fenomena

- Diterbit 29 Disember 2023 3:30 PM MYT

BERKHEMAH sambil menikmati suasana alam semula jadi di persisir pantai semestinya memberi ketenangan jiwa ditambah lagi dengan hiasan khemah yang indah sudah semestinya menjadi pilihan ramai.

Aktiviti tersebut semakin mendapat sambutan termasuklah di Wilayah Persekutuan Labuan di mana hampir setiap hari warga di pulau bebas cukai itu tidak melepaskan peluang untuk bersantai bersama keluarga tercinta di kawasan terpilih.

Memandangkan permintaan terhadap dekorasi khemah yang semakin menggalakkan, Faizah Ibrahim, 47, atau lebih mesra disapa Kak Pai mengambil kesempatan menjalankan perkhidmatan Picnic Deco Labuan sejak empat tahun lalu.

FAIZAH

Katanya, idea tersebut muncul apabila dia melihat trend hiasan khemah yang diketengahkan oleh masyarakat luar negara melalui platform media sosial. Percubaannya tidak sia-sia apabila ia menjadi fenomena di pulau tersebut terutamanya pada hujung minggu dan cuti umum.

“Pada mulanya saya hanya menjalankan perkhidmatan ini secara kecil-kecilan namun tidak menyangka mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Ramai yang inginkan dekorasi khemah untuk sambutan hari lahir, ulang tahun perkahwinan, bakal pengantin dan sebagainya.

“Tambahan pula harga atau kadar sewa yang saya tawarkan amat berpatutan bermula harga RM100 mengikut jenis hiasan dan barangan yang diinginkan oleh pelanggan,” katanya.

Menurut Kak Pai, bagi menarik lebih ramai pelanggan, pihaknya sentiasa membuat promosi tawaran harga istimewa pada bulan-bulan tertentu dengan harga jauh lebih murah berbanding asal.

Bercerita lanjut mengenai cabaran mengetengahkan idea dan kreativiti untuk dekorasi khemah, Kak Pai berkata hiasan berkonsepkan glamping lebih mencabar untuk dihasilkan berbanding khemah biasa yang boleh disiapkan dalam tempoh 10 minit sahaja.

“Hiasan berkonsepkan glamping agak sukar sedikit dan perlu mengambil masa sekurang-kurangnya setengah jam untuk memikirkan idea dan kreativiti selain perlu melihat keadaan cuaca sebelum memacak khemah.

“Kebiasaannya jika ada pelanggan yang membuat tempahan, saya akan melakukan kerja-kerja dekorasi dan hiasan lebih awal supaya hasil yang diperoleh lebih kemas.

“Jadi, biasanya saya akan mengambil tempahan sekurang-kurangnya dua hari sebelum majlis berlangsung untuk mengelakkan kesulitan atau pertindihan waktu dengan pelanggan lain,” katanya yang sering membuat hiasan dekorasi khemah di sekitar Pantai Pohon Batu dan Pancur Hitam, Labuan.

Berkongsi lanjut tentang perniagaannya, dia bersyukur apabila menerima respons yang sangat menggalakkan daripada pelanggan yang menyifatkan dekorasinya unik dan menarik.

“Seluruh warga di pulau ini sentiasa menyokong saya dari awal hingga kini. Insya-Allah saya berhasrat untuk mengembangkan perniagaan ini ke seluruh Labuan demi memenuhi permintaan masyarakat setempat dan luar.

“Dalam masa yang sama, saya merancang untuk membuka kelas dekorasi untuk membantu peniaga khususnya kaum wanita di Labuan untuk menceburi bidang ini yang semakin mendapat permintaan tinggi.

“Pada masa akan datang juga, saya mahu meluaskan perkhidmatan ini dengan berkolaborasi bersama pihak hotel dan tidak hanya terhad di kawasan pantai sahaja,” ujarnya perniagaan yang dijalankan memberi pulangan lumayan selama ini. – WILAYAHKU

INFO
Lokasi: Picnic Deco Labuan
No Tel: 016-818 5647
Facebook: Faizah Ibrahim

  

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas