WALAUPUN pembelian dalam talian kian menjadi pilihan orang ramai khususnya golongan muda untuk berbelanja, kawasan Little India di empat negeri dilihat tetap menjadi tumpuan penganut agama Hindu untuk membuat persiapan menyambut Deepavali Ahad ini.
Tinjauan Bernama mendapati kawasan Little India berkenaan kelihatan meriah dengan pelbagai hiasan yang membangkitkan semangat pesta cahaya itu dan pengunjung kelihatan sibuk membeli-belah mendapatkan keperluan walaupun dalam keadaan cuaca yang tidak menentu.
Di SELANGOR, Little India di Jalan Tengku Kelana, Klang dibanjiri penganut agama Hindu yang ingin membuat persiapan akhir bersempena dengan perayaan Deepavali.
Pesara swasta K. Sivakumar, 53, berkata dia dan isteri Luna Luwa, 52, yang berketurunan Bidayuh memilih tempat itu untuk berbelanja barangan keperluan Deepavali mereka setiap tahun.
“Saya dan isteri juga akan berbelanja di sekitar kawasan lain di Kuala Lumpur dan Selangor bagi mendapatkan barangan dengan harga yang munasabah,” katanya kepada Bernama.
Di NEGERI SEMBILAN, tinjauan Bernama mendapati Little India di Jalan Yam Tuan di Seremban kelihatan meriah dengan aktiviti jualan keperluan perayaan seperti makanan, barang perhiasan, bunga dan pakaian dengan pelbagai harga menarik ditawarkan kepada pelanggan.
Peniaga S. Nagaranee, 62, dari Rasah berkata sudah menjadi rutin beliau dan suami menjual bunga segar di kaki lima di kawasan berkenaan setiap kali menjelang perayaan Deepavali sejak 10 tahun lepas.
“Saya hanya berniaga dua hari sebelum Deepavali, jadi kami sudah ada pelanggan tetap dan boleh dikatakan bunga akan habis terjual,” katanya.
Di KUALA LUMPUR, suasana Little India di Brickfields kelihatan sedikit lengang berkemungkinan orang ramai sudah membuat persiapan awal dan memilih platform e-dagang untuk membeli-belah, namun aktiviti jual beli dilihat rancak apabila ada penganut yang membuat persiapan pada saat akhir.
Peniaga T. Vimalraj, 24, berkata jualan muruku yang diusahakannya agak berkurangan berbanding sebelum ini, tetapi masih ada pelanggan setia yang berkunjung dan membeli kuih tradisional itu di kedainya.
“Tahun lepas, hampir setiap hari saya akan menambah bekalan stok muruku bagi menampung permintaan pelanggan yang tinggi, berbeza sedikit pada tahun ini,” katanya kepada Bernama.
Di PULAU PINANG, tinjauan Bernama di sekitar Jalan Kampung Benggali di Butterworth mendapati rata-rata pengunjung sibuk mencari barangan perhiasan selain pakaian dan kuih-muih.
Biarpun meriah, peniaga yang ditemui mengakui jualan mereka sedikit menurun tahun ini berikutan persaingan daripada peniaga dalam talian.
Peniaga pakaian, R. Tamil Arisee, 64, mengakui kemunculan perkhidmatan jualan dalam talian sedikit sebanyak menjejaskan perniagaan yang diusahakannya sejak 15 tahun lepas, namun bersyukur kerana mempunyai pelanggan tetap yang akan membeli dari premisnya setiap tahun.
“Semua pakaian yang dijual di premis ini berkualiti tinggi dan diimport dari utara dan selatan India selain Pakistan, jadi pelanggan yang sudah tahu pasti akan datang ke sini untuk membeli,” katanya. – BERNAMA