Berita

Deepavali: 100 keluarga India dirai

- Diterbit 5 November 2021 4:30 AM MYT

SENYUMAN manis jelas terukir pada wajah penduduk berbangsa India di rumah panjang Bukit Kiara, Kuala Lumpur sejurus melihat kelibat Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim, 2 November lalu.

Kunjungan mesra beliau juga berjaya menghilangkan sedikit keresahan di hati 100 keluarga terlibat yang sentiasa menunggu khabar gembira tentang penempatan baharu susulan rumah yang didiami selama 38 tahun sudah uzur.

Bagi Pengerusi Rukun Tetangga Rumah Panjang Bukit Kiara, Konasagaren Subramaniam, 53, dia dan seluruh komuniti setempat mengucapkan ribuan terima kasih kepada Menteri Wilayah Persekutuan kerana sudi turun padang dan berkunjung ke kawasan perumahan mereka yang serba kekurangan.

“Kami juga terkejut dengan kehadiran beliau yang sanggup curi masa untuk ke sini walaupun sibuk dengan pelbagai urusan. Meski hanya sebentar, ia sangat memberi makna terutama dalam tempoh perayaan Deepavali.

“Tambahan pula kanak-kanak diberi peluang untuk memilih baju raya kegemaran mereka. Sumbangan yang beliau sampaikan juga berjaya mengurangkan beban penduduk di sini yang terjejas akibat penularan wabak COVID-19,” katanya kepada Wilayahku.

Terdahulu, penduduk setempat menerima pelbagai bantuan dari Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) dan RumahPrihatin@GrandSeasons (Rumah Prihatin) sempena hari raya Deepavali, tahun ini.

Sumbangan berbentuk wang tunai serta bantuan kotak makanan disampaikan kepada ketua keluarga oleh Menteri Wilayah Persekutuan yang juga Pengerusi YWP.

Bukan itu sahaja, seramai 50 orang kanak-kanak India berumur bawah 12 tahun serta mereka yang memohon bantuan di Rumah Prihatin, dibawa menaiki bas ke Kedai Pakaian Hari-Hari.

YWP dan Rumah Prihatin turut merancang untuk meningkatkan sumbangan bantuan Hari Raya Deepavali ini kepada 500 orang penerima dari kalangan keluarga yang kurang berkemampuan.

Turut hadir memeriahkan acara, Ketua Pegawai Eksekutif YWP, Datuk Zaizalnizam Zainun dan Pengarah Eksekutif Rumah Prihatin Datuk Mohd Irwan Rizal.

Acara turut mendapat kerjasama Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Pulse Grande Hotel Putrajaya dan Pusat Pakaian Hari-Hari. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas