Berita

Bas elektrik pertama operasi 1 November

ORANG ramai menggunakan perkhidmatan bas elektrik pertama yang mula beroperasi di Wangsa Maju.
- Diterbit 5 November 2021 3:29 AM MYT

WANGSA Maju telah dipilih untuk melaksanakan program perintis perbandaran sifar karbon yang pertama di ibu kota menggunakan perkhidmatan bas elektrik bermula 1 November lalu.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, projek tersebut dilaksanakan melalui perkhidmatan bas percuma GoKL yang mengaplikasi penggunaan kenderaan elektrik bateri (BEV).

“Perkhidmatan BEV merupakan satu pelan tindakan yang akan dilaksanakan secara lebih bersasar di sekitar Kuala Lumpur.

“Sejajar dengan itu, reka bentuk dan warna balutan luar turut diperbaharui dengan membawa tema hijau yang dilihat ke arah gaya hidup lebih sihat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melancarkan Bas Elektrik dan Laluan Baharu Bagi Perkhidmatan Bas Percuma GoKL di Wangsa Maju Khamis lalu.

Hadir sama, Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad, Timbalan Ketua Setiausaha KWP, Datuk Che Roslan Che Daud dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah.

Menjelas lanjut, Shahidan berkata, DBKL menyasarkan penggunaan BEV sepenuhnya di semua laluan perkhidmatan bas GoKL menjelang tahun 2023.

“Bilangan bas elektrik ini akan ditambah secara berjadual dari semasa ke semasa dan sebuah bas mampu melengkapkan perjalanan sehingga 250 kilometer (km) untuk sekali pengecasan,” katanya.

Dalam pada itu, Shahidan berkata, dua laluan baharu iaitu laluan Hijau Serindit dan laluan Kelabu akan mula beroperasi pada 1 November ini.

“Laluan Hijau Serindit sepanjang 13.78 km ini akan bermula dari Hab Transit Aliran Massa (MRT) Terminal Maluri ke Bandar Seri Permaisuri manakala Laluan Kelabu sepanjang 16.7 km pula akan bermula dari MRT Cochrane ke Bandar Tun Razak.

“Dua laluan baharu ini diwujudkan bagi memberi penumpang membuat pilihan melakukan pertukaran mod pengangkutan daripada bas ke penggunaan rel dan seterusnya mencapai sasaran Kuala Lumpur sebagai bandar raya rendah karbon 2030,” katanya.

Sementara itu, Mahadi berkata, pihaknya melahirkan harapan agar inisiatif yang diperkenalkan dapat menjadi penggalak dan memudahkan warga kota untuk menggunakan lebih banyak pengangkutan awam yang disediakan pihak kerajaan.

“Dengan adanya perkhidmatan bas perantara percuma GoKL ini serta jaringan perkhidmatan pengangkutan awam yang efisien dan lengkap, diharapkan bilangan kemasukan kenderaan persendirian ke dalam pusat bandar dapat dikurangkan dan mencapai sasaran pengurangan 30 peratus menjelang tahun 2025,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas