Berita

DBKL tutup 3 premis makanan kotor

- Diterbit 29 Disember 2023 11:31 AM MYT

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan arahan penutupan kepada tiga buah premis dalam satu Operasi Bersepadu Bersih semalam.

DBKL dengan kekuatan 23 orang anggota, petugas kesihatan menjalankan operasi tersebut di Jalan Hujan Rahmat, Jalan Radin Bagus dan Jalan Radin Tengah (Parlimen Seputeh), GLo Damansara, Jalan Lang Kuning dan Viva Mall Damansara (Parlimen Segambut) serta Jalan Development, Jalan Metro Perdana (Parlimen Kepong).

Menurut DBKL, sejumlah 30 premis telah diperiksa dan hasilnya tiga premis dikenakan tindakan arahan penutupan, satu di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983 dan dua di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) 28(1) Undang-undang Kecil Pelesenan Petempatan Makanan (WPKL) 2016.

“Sebanyak 35 kompaun telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Petempatan Makanan (WPKL) 2016 dan Undang-undang Kecil Pengendali Makanan 1979.

“Antara kesalahan melibatkan pekerja yang tiada suntikan tifoid, premis yang kotor dan berbau busuk dengan pengendalian pembuangan sisa yang tidak teratur serta terdapat najis tikus di kawasan dapur,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

DBKL turut menasihati orang ramai agar lebih peka mengenai hal kesihatan kebersihan dan keselamatan makanan. – WILAYAHKU.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas