Kuala Lumpur

DBKL telah ambil tindakan 75 ulat parkir sejak 2022

- Diterbit 31 Disember 2023 10:02 AM MYT

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengambil tindakan terhadap 75 ulat parkir sejak tahun 2022.

Menurut Unit Media, Jabatan Perancangan Korporat DBKL, pihaknya memandang serius tindakan tersebut dan ia diteruskan sehingga kini di bawah Seksyen 50(3) dan Seksyen 119(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Berkenaan aduan yang tular ulat parkir mengenakan caj parkir di Bukit Bintang, siasatan mendapati tapak yang dimaksudkan adalah tempat letak kereta (TLK) terbuka di tepi lorong Off Jalan Sultan Ismail.

“TLK ini merupakan petak parkir di bawah kawalan DBKL dan dikenakan bayaran parkir pada waktu pejabat iaitu sehingga pukul 5 petang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu, pada masa yang sama, DBKL telah menyewakan urusan parking ini kepada syarikat persendirian untuk menguruskan lapan petak letak kereta secara joki yang beroperasi selepas waktu pejabat.

“Pihak operator joki telah diarahkan meletakkan papan tanda makluman operasi TLK joki di tapak berkenaan dengan segera bagi memastikan orang awam maklum
mengenai perkhidmatan tersebut,” ujarnya.

DBKL berkata sebagai makluman tambahan, sejumlah 11 TLK DBKL telah dilesenkan sebagai joki parkir di sekitar Kuala Lumpur.

“Sehubungan itu , DBKL ingin memaklumkan bahawa bukan semua tempat letak kereta DBKL boleh digunakan tanpa bayaran selepas waktu pejabat,” katanya.

Kenyataan itu juga berkata, pasukan DBKL akan melakukan pemantauan dan penguatkuasaan yang
llebih kerap di kawasan tumpuan ulat parkir iaitu di Bukit Bintang, Jalan Beremi dan Jalan Walter Grenier bagi membanteras ulat parkir.

“DBKL juga ingin menasihatkan orang awam supaya menggunakan pengangkutan awam bagi mengurangkan penggunaan kenderaan persendirian terutama di kawasan pusat bandar bagi mengurangkan kesesakan lalulintas serta membantu usaha DBKL mengurangkan
pelepasan karbon,” katanya.

Terdahulu isu ulat parkir di Bukit Bintang mendapat rungutan dari warga kota sebelum ia tular di media sosial.

Isu berkenaan turut mendapat perhatian Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustaffa dan telah mengarahkan DBKL untuk melaksanakan pemantauan bagi menangani masalah tersebut melaui ciapan di laman X hari ini. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas