Berita

DBKL sita barang niaga warga asing ingkar arahan

PENGUAT kuasa DBKL merampas barang-barang perniagaan dalam operasi pengosongan kawasan bahu jalan di Jalan Raja Alang,
- Diterbit 31 Julai 2021 3:00 AM MYT

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bertindak tegas menyita peralatan niaga lima warga asing di bahu jalan dan kawasan awam di Jalan Raja Alang, Kampung Baru, pada Selasa.

Ia susulan penjaja makanan serta minuman warga Indonesia dan Thailand yang bertindak ingkar arahan untuk mengosongkan tapak perniagaan.

DBKL dalam kenyataan pada Rabu berkata, pihaknya merampas 25 barangan dan peralatan perniagaan termasuk khemah, gerai, kerusi plastik, payung, dulang besi serta dapur, selain pasport dan telefon bimbit milik warga asing yang melarikan ketika tindakan sitaan.

Katanya, semua barangan berkenaan ditempatkan di stor DBKL di Jalan Lombong, Cheras untuk proses penyimpanan dan dokumentasi.

“Tindakan sita dan rampasan barang mengikut Undang-Undang Kecil (UUK) 3(1), UUK Pelesenan Penjaja Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) 2016 serta Akta Kerajaan Tempatan 1976.

“Kita akan meneruskan tindakan itu dari semasa ke semasa mengikut bidang kuasa, peruntukan undang-undang serta prosedur operasi standard (SOP) DBKL.

“Warga kota diminta untuk terus memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat dan aduan kepada pihak DBKL melalui http://ispaaadbkl.dbkl.gov. my/eApps/system/index.do,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas