Komen berbaur perkauman tidak boleh diterima dalam budaya Malaysia – Halimah
MENTERI Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique, yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi ketika sesi menjawab soalan pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat, Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen. Kredit foto: Bernama

Komen berbaur perkauman tidak boleh diterima dalam budaya Malaysia – Halimah

KOMEN berbaur perkauman yang dilemparkan terhadap pemain badminton perseorangan wanita negara S.Kisona baru-baru ini tidak boleh diterima dalam budaya Malaysia yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama, kata Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Sadique.

Beliau berkata ini memandangkan sukan telah lama jadi menjadi tapak integrasi perpaduan yang menyatukan rakyat Malaysia selama ini.

“Nasihat saya kepada semua pihak terutama pengguna media sosial jangan bangkitkan api kemarahan, elak guna kata-kata yang menghiris hati dan perasaan kaum lain demi kita jaga perpaduan dan keharmonian keluarga besar kita Keluarga Malaysia,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan tambahan Cha Kee Chin (PH-Rasah) yang meminta pandangan menteri  berhubung isu itu, memandangkan atlet berkenaan merupakan penduduk di kawasan Rasah yang menurut Cha telah berkorban banyak demi mengharumkan nama negara dan wajar dihargai.

Komen berbaur perkauman itu sebelum ini dilemparkan terhadap Kisona selepas pemain perseorangan wanita negara itu tewas di tangan pemain Jepun dalam aksi separuh akhir Piala Sudirman di Finland.

Berhubung soalan Cha mengenai tindakan untuk memastikan kualiti dan profesional guru Tabika ditingkatkan, Halimah berkata pihaknya kini antara lain memastikan semua guru Tabika Perpaduan mempunyai kelayakan minimum Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak (DPAKK).

Jelasnya sehingga 1 Okt lepas, seramai 1,574 orang atau 88 peratus daripada 1,781 Guru Tabika Perpaduan memiliki DPAKK daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Open University Malaysia (OUM).

“Untuk memastikan baki 207 orang guru Tabika Perpaduan ini mempunyai sekurang-kurangnya kelayakan yang setara dengan DPAKK, Kementerian Perpaduan Negara bekerjasama  dengan UPSI bagi menyediakan kursus yang setara dengan DPAKK iaitu Program Persijilan Kompetensi Guru Tabika Perpaduan (PPKG),” katanya. — BERNAMA

 

CATEGORIES