Berita

DBKL laksana pemantauan Bazar Ramadan

- Diterbit 15 Mac 2024 12:50 PM MYT

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melaksanakan satu operasi pemantauan kesihatan kepada peniaga Bazar Ramadan di Tasik Permaisuri, Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur, Rabu lepas.

DBKL menerusi Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar (JKAS) melaksanakan operasi tersebut bersama 13 orang petugas yang diketuai oleh Timbalan Pengarah Kanan, Dr Nor Halizam Ismail.

Menurut DBKL, sebanyak 115 sampel makanan telah diambil untuk dihantar ke Pusat Analisis dan Sekuriti Makanan JKAS DBKL.

Tambahnya, persampelan bertujuan untuk memantau kebersihan dan keselamatan makanan yang dijual kepada orang ramai.

“Pemeriksaan mikrobiologi seperti kuman salmonella tyhi, E-Choli dan Coliform yang merupakan indek pengukuran kebersihan makanan yang dijual.

“Sekiranya berlaku perlanggaran atau pencemaran tindakan denda atau kompaun akan dikenakan kepada peniaga,” katanya dalam satu kenyataan.

DBKL berkata, pemantauan ini dibuat susulan peningkatan kes keracunan makanan yang dilaporkan dari bazar-bazar Ramadhan di sekitar Kuala Lumpur.

“Berdasarkan e-notifikasi oleh Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan, kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan sebanyak 43 kes pada tahun 2022 dan 62 kes pada tahun 2023,” ujarnya.

Sementara itu, jelas DBKL, pihak JKAS juga melakukan pemeriksaan berkait kehendak-kehendak kesihatan pada pengendali makanan seperti teguran dan nasihat diberikan kepada peniaga yang menggunakan stapler pada bungkusan makanan kerana boleh mendatangkan bahaya kepada pengguna.

“Hasil pemeriksaan didapati kebanyakan peniaga bazar mempunyai suntikan typhoid, menjaga kebersihan tapak bazar, tidak menggunakan polistrene dan tidak terdapat pembantu warga asing.

“Seiring dengan matlamat pembangunan mampan (SDG), para penjaja disarankan untuk tidak menggunakan styroform dan polistrene untuk membungkus makanan, tidak menggunakan penyedut minuman plastik serta mengganti penggunaan beg plastik kepada bahan yang mudah terurai,” ujarnya.

Sehubungan itu, DBKL menasihati kepada warga kota untuk membawa beg atau bekas makanan sendiri serta elakkan dari melakukan pembaziran di bulan penuh keberkatan ini. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas