Berita

DBKL laksana 15 tindakan sita, pindah barangan halang laluan awam

Kredit foto: DBKL
- Diterbit 1 Mac 2024 4:15 PM MYT

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membuat 15 tindakan sita atau pindah barangan dan peralatan perniagaan kerana menghalang laluan di kawasan awam di sekitar Jalan Klang Lama dan Jalan Jalil Perkasa, Seputeh, Kuala Lumpur, semalam.

DBKL dalam satu kenyataan memaklumkan, operasi itu dilaksanakan oleh Jabatan Penguatkuasaan dan Pejabat Cawangan Parlimen Seputeh menerusi Tindakan Khas Pindah Halangan Parlimen Seputeh.

“Pemeriksaan dan tindakan penguatkuasaan kali ini di tujuh lokasi aktiviti perniagaan melibatkan premis restoran, gerai makanan dan penjaja yang membuat halangan di tempat awam.

“Sebanyak 15 tindakan sita atau pindah barangan dan peralatan perniagaan yang membuat halangan tred perniagaan di atas jalan, siar kaki, parkir dan laluan awam menerusi kesalahan di bawah Seksyen 46, Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974,” katanya hari ini.

Menurut DBKL, sejumlah 392 pelbagai peralatan dan barangan perniagaan seperti kerusi, bangku, meja, stall beroda, tong gas, dapur dan lain-lain yang di sita telah dipindahkan ke stor sitaan DBKL Jalan Lombong, Taman Miharja, Kuala Lumpur untuk rekod, penyimpanan serta tuntutan.

“Tindakan penguatkuasaan akan diteruskan dari masa ke semasa di 11 parlimen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur secara berperingkat,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas