Berita

DBKL keluarkan 45 kompaun dalam Operasi Sepadu Bersih

Kredit foto: DBKL
- Diterbit 10 November 2023 9:13 AM MYT

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melalui Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar (JKAS) telah melaksanakan Operasi Sepadu Bersih di beberapa lokasi sekitar Kuala Lumpur.

Menurusi hantaran di laman facebook DBKL, operasi yang dilaksanakan pada Rabu lalu melibatkan 36 orang pegawai dan kakitangan telah melakukan pemeriksaan ke atas 52 premis.

“Melalui tindakan tersebut, satu premis telah dikenakan tindakan arahan penutupan di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Petempatan Makanan 28(1) WPKL 2016 manakala 45 kompaun telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Petempatan Makanan WPKL 2016 dan Undang-Undang Kecil Pengendali Makan 1979,” katanya.

“Di antara kesalahan yang dilakukan adalah pekerja tidak mendapatkan suntikan tifoid, premis kotor dan berbau busuk, terdapat hurungan lipas dan menyalah guna lorong belakang untuk membasuh peralatan memasak,” katanya.

Operasi tersebut melibatkan di Jalan Bukit Cheras dan Taman Bukit Anggerik (Parlimen Bandar Tun Razak), Jalan Radin Bagus 7 (Parlimen Seputeh), Kiosk tingkat bawah Hospital Pantai KL dan Mid Valley Megamall (Parlimen Lembah Pantai), Jalan Wan Kadir dan Rivercity Plaza (Parlimen Segambut), Selangor Mansion dan Pertama Kompleks (Parlimen Bukit Bintang). – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas