Berita

DBKL keluar 68 notis kompaun

OPS Bersih Siri 2 Tahun 2024 yang dijalankan di Lebuh Raya Hubungan Timur-Barat dekat Taman Connaught Kuala Lumpur pada Selasa.
- Diterbit 31 Mei 2024 10:10 AM MYT

SEBANYAK 68 notis kompaun telah dikenakan kepada pemilik kenderaan berat dalam satu operasi bersepadu yang turut disertai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur bersama agensi penguat kuasa lain.

Dalam hantaran di Facebook, DBKL menerusi Jabatan Penguatkuasaan, Jabatan Perancangan Infrastruktur dan Jabatan Integriti dengan kerjasama rakan agensi penguatkuasaan dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) telah melaksanakan Operasi Bersepadu Bersih (Ops Bersih) Siri 2 Tahun 2024 di Lebuh Raya Hubungan Timur-Barat dekat Taman Connaught Kuala Lumpur pada Selasa.

“Ops Bersih merupakan gabungan tindakan penguatkuasaan yang dilaksanakan secara bersepadu bersama agensi sahabat melibatkan kenderaan persendirian atau kenderaan perdagangan yang melakukan kesalahan am trafik.

“Selain itu, operasi tersebut turut merangkumi pemeriksaan tahap kebersihan kenderaan, pencemaran asap dan permit laluan kebenaran mengangkut bahan (batu, tanah, kayu, simen, batu-bata, kaca, jubin dan lain-lain) yang melalui mana-mana jalan awam sekitar pusat bandar Kuala Lumpur.

“Ia juga termasuk pemeriksaan ke atas pemandu kenderaan yang melakukan kesalahan seperti cukai jalan tamat tempoh, tiada lesen memandu dan lain-lain kesalahan am mengikut bidang kuasa di bawah agensi masing-masing,” katanya.

Menurut DBKL, dalam Ops Bersih kali ini, sebanyak 98 buah kenderaan diperiksa dan pihaknya telah mengeluarkan sejumlah 21 notis kompaun ke atas pelbagai kesalahan di bawah Undang-Undang Kecil Pengangkutan Bahan (WPKL) 1997 dan Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974.

“Manakala pihak PDRM mengeluarkan 21 notis kompaun, pihak JPJ pula 23 notis kompaun dan SWCorp turut mengeluarkan tiga notis kompaun di atas pelbagai kesalahan kepada individu atau pemilik kenderaan yang telah melakukan kesalahan lalu lintas,” katanya.

Tambah DBKL, tindakan khas ini dilakukan mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan peruntukan undang-undang yang dikuatkuasakan DBKL serta rakan agensi berkenaan dan Ops Bersih akan diteruskan di lokasi tumpuan (hotspot) lain selepas ini. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas