Berita

DBKL keluar 21 notis kompaun kepada pemandu guna laluan khas bas dan teksi

Kredit: DBKL
- Diterbit 16 Mei 2024 4:55 PM MYT

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan 21 notis kompaun terhadap pemandu kenderaan yang dikesan menggunakan laluan khas untuk bas dan teksi dalam satu operasi di Jalan Ampang, Kuala Lumpur, semalam.

DBKL berkata menerusi Pegawai Warden Trafik Jabatan Penguatkuasaan melaksanakan Tindakan Khas lalu lintas (Lorong Bas dan Teksi) bagi mengesan kesalahan lalu lintas melibatkan kenderaan awam menggunakan lorong khas yang telah disediakan bagi kegunaan kenderaan seperti bas dan teksi di laluan utama sekitar pusat bandar.

“Dalam operasi tindakan khas ini, DBKL telah memeriksa dan mengeluarkan sebanyak 21 notis kompaun terhadap pemandu kenderaan yang dikesan melakukan kesalahan.

“Tindakan penguatkuasaan dilakukan dibawah kesalahan Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah DBKL, operasi akan dilaksanakan dari semasa ke semasa di lokasi-lokasi tumpuan sekitar Kuala Lumpur.

“Tindakan berkala dilakukan di lokasi tumpuan keatas mana-mana pemandu kenderaan awam atau persendirian yang ingkar arahan pihak berkuasa melalui papan tanda pemberitahuan dan isyarat lalu lintas jalan.

“Pengguna jalan raya diingatkan agar mematuhi peraturan dan isyarat lalu lintas yang telah ditetapkan pihak berkuasa,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas