Berita

DBKL… dengarlah rintihan kami – Penduduk Seri Perak

AIRUL (kiri) bersama penduduk menunjukkan keadaan perumahan mereka yang ditumbuhi pokok liar. AIRUL (kiri) bersama penduduk menunjukkan keadaan
- Diterbit 18 Disember 2020 6:41 AM MYT

DARI luar, kawasan Perumahan Awam (PA) Seri Perak yang sudah berusia 36 tahun seperti tiada apaapa. Namun, penduduk di sini menyimpan 1,001 perasaan apabila terpaksa berhadapan dengan pelbagai masalah yang membelenggu kehidupan mereka setiap hari.

Lebih memeritkan lagi, mereka terpaksa menelan sahaja pelbagai masalah kerana pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) seolah-olah memekakkan telinga apabila aduan dikemukakan.

Pengerusi Persatuan Penduduk PA Seri Perak, Fairul Iskandar Faizil De Souza berkata, masalah-masalah yang berkaitan dengan infrastruktur, keselamatan dan pembangunan bangunan telah lama dikemukakan namun setakat ini masih tiada sebarang tindakan daripada pihak DBKL.

“Masalah parkir sudah lama dan kritikal untuk sebuah kawasan perumahan yang mempunyai tujuh buah blok dan 1,428 unit rumah. Malah ketika Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin menjadi Menteri Pendidikan yang mengadakan  walkabout untuk meninjau tapak untuk membina Sekolah Seri Perak, sudah ada perbincangan untuk mendirikan sebuah parkir bertingkat untuk kemudahan kepada penduduk PA Seri Perak.

“Penduduk sebelum ini juga pernah kemukakan perkara tersebut kepada Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan beliau mengatakan kelulusan telah diberi untuk membangunkan sebuah parkir sembilan tingkat di atas tapak gelanggang
futsal. Apabila berlaku pertukaran kerajaan, perkara itu terus senyap tanpa sebarang makluman kepada penduduk.

“Apabila saya bertemu dengan pihak MPPWP dan mereka telah memberitahu bahawa peruntukan untuk membina parkir bertingkat memang telah disediakan tetapi ia masih belum dijalankan,” katanya kepada Wilayahku baru-baru ini.

Selain itu, Fairul Iskandar berkata banyak pokok-pokok tumbuh di celah-celah dinding luar di tingkat-tingkat yang tinggi membahayakan penduduk.

“Akar tersebut telah memasuki celah dinding yang boleh menyebabkan rekahan dan membahayakan penduduk.

“Ia juga boleh ditolak dan berkemungkinan dinding juga boleh runtuh kerana akar-akar tersebut turut tumbuh di dalam rumah melalui dinding-dinding itu dan ia berlaku di setiap blok di sini,” katanya.

Kata Fairul Iskandar, antara masalah yang dihadapi penduduk berkaitan dengan  kemudahan awam adalah taman permainan kanak-kanak yang telah rosak dan merbahaya kepada kanak-kanak.

“Tapak permainan kanak-kanak yang ada sudah tidak sesuai digunakan dan ia dibuat hanya untuk sekadar ada.

“Telah banyak yang pecah, patah dan berkarat. Ia juga bersaiz kecil dan penduduk terutama kanakkanak tiada pilihan untuk beriadah kerana hanya itu sahaja yang ada,” katanya.

Beliau berkata, di kawasan tersebut turut dibangunkan dengan tiga buah rumah sampah sejak tiga tahun lalu yang pernah digunakan beberapa kali dan kini tutup selepas berlaku kerosakan mekanikal.

“Kami dimaklumkan ia berkaitan dengan masalah mekanikal dan memerlukan alat ganti daripada luar negara.

“Namun sehingga kini kami tidak tahu status rumah sampah itu dan penduduk hanya meletakkan sampah di hadapan rumah dan pihak kontraktor akan memungutnya.

“Tong-tong sampah pula hanya diletakkan di tepi-tepi jalan sahaja sehingga mencemarkan bau,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha JMB Seri Perak, Halimah Abu Hassan, 64, yang menetap di kawasan itu sejak 35 tahun lalu berkata, masalah yang utama adalah disebabkan mentaliti penduduk sendiri yang tidak mengambil berat soal kebersihan.

“Bagi mereka, apabila JMB ditubuhkan, soal kebersihan di kawasan sekitar diserahkan sepenuhnya kepada pihak JMB.

“Oleh disebabkan tiada kesedaran, maka pihak JMB memohon kepada DBKL supaya memberikan kesedaran kepada penduduk untuk bertanggungjawab menjaga kebersihan kawasan ini,” katanya.

Katanya, pihak DBKL pula harus responsif sekiranya ada aduan berkaitan dengan masalah yang membabitkan kawasan tersebut.

“Kami pernah mengemukakan beberapa aduan berhubung masalah berkaitan dengan penyelenggaraan fasiliti di sini, namun jawapan yang diberikan hanyalah sambil lewa.

“Malah ada aduan mengenai berkenaan tiang bumbung yang reput di siar kaki, namun sehingga kini tiada sebarang tindakan daripada DBKL,” katanya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas