Utama

DBKL, Bomba laksana sanitasi awam cegah COVID-19

- Diterbit 17 Oktober 2020 5:46 AM MYT

DEWAN Bandaya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil langkah dengan meneruskan operasi sanitasi awam di ibu negara bagi mencegah penularan COVID-19.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Mahadi Che’ Ngah berkata, operasi hari ini melibatkan kawasan sekitar Dataran Merdeka melibatkan kira-kira radius 500 meter.

“Antara kawasan yang terlibat termasuklah Jalan Masjid India, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Ampang, Jalan Bukit Nenas, Jalan Petaling dan kawasan Pasar Seni sejauh radius 500 meter.

“Operasi ini melibatkan sejumlah 80 anggota yang terdiri daripada 45 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan 35 kakitangan Jabatan Kesihatan Alam Sekitar DBKL,” katanya kepada pemberita selepas meninjau Operasi Sanitasi Awam di Dataran Merdeka hari ini.

Katanya, langkah ini adalah selaras dengan perkembangan COVID-19 yang telah memasuki gelombang ketiga sehingga menyebabkan Kuala Lumpur di kenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Kawasan yang dipilih merupakan kawasan hot spot yang menjadi tumpuan awam termasuk kawasan persinggahan gelandangan.

“Kita memilih pada hujung minggu selain jalan lengang dan tiada kenderaan yang membolehkan ia operasi berjalan dengan lancar,” katanya.

Ujar Mahadi lagi, beliau menyeru warga kota agar memberikan kerjasama untuk mematuhi Posedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

“Dengan pematuhan SOP, kita berharap dapat menyekat penularan virus tersebut seterusnya negara kita bebas daripada COVID-19,” -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas