Utama

DBKL akan perluas zon larangan merokok – Mahadi

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah.
- Diterbit 12 Disember 2021 5:00 AM MYT

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang meninjau untuk memperluaskan zon larangan merokok di ibu negara termasuk di pasar dan kolam renang awam, sebagai sebahagian daripada inisiatif Kuala Lumpur Bebas Asap Rokok (KLBAR).

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah berkata, pihaknya sedang melihat untuk memasukkan peraturan ‘Dilarang Merokok’ sebagai sebahagian daripada syarat lesen untuk pemilik perniagaan di tempat seperti pasar borong.

“Kami mahu perokok cuba membuang tabiat itu yang bukan sahaja memudaratkan mereka tetapi juga orang yang berada di sekitar.

“Ini adalah tambahan kepada restoran dan taman, yang telah ditetapkan sebagai zon larangan merokok.

“Ia juga adalah pendekatan dari bawah ke atas untuk memastikan bandar Kuala Lumpur bebas daripada pencemaran yang disebabkan oleh asap tembakau, vape dan shisha,” katanya semasa pelancaran kempen itu baru-baru ini.

Mahadi berkata, inisiatif KLBAR juga adalah untuk memberi perhatian kepada kelaziman dan kesan tabiat merokok.

Sementara itu, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan & Pembangunan) Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Che Roslan Che Daud berkata, pihaknya menyokong inisiatif yang dirintis DBKL sebagai usaha untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat.

“KWP akan memberi sokongan terhadap program ini dan kita akan masukkan kempen ini di dalam media yang berkaitan dengan kementerian sebagai komitmen berterusan agar warga kota mendapat kesedaran sekali gus menjayakan kempen KLBAR ini,” katanya.

Turut hadir Pengarah Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya Datuk Dr Param Jeeth Singh Pakar Singh dan Ketua Pegawai Eksekutif BookDoc, Datuk Chevy Beh. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas