Berita

DAVID TEO Mahu Saman Penyebar Video Lucah Yang Didakwa Mirip HUN HAQEEM

- Diterbit 22 Oktober 2020 9:36 AM MYT

PIHAK pengurusan pelakon, Hun Haqeem, Metrowealth International Group (MIG) tidak teragak-agak untuk menyaman dalang di sebalik penyebaran video lucah yang didakwa mirip pelakon Kampung People itu.

Menerusi rakaman video yang dimuat naik di saluran YouTube rasmi MIG semalam, Pengarah Urusan MIG, David Teo berkata pihaknya memberi amaran kepada semua pihak yang sudah menyebar gambar dan foto itu supaya dipadam sebelum tindakan undang-undang diambil.

“Hari ini saya terpanggil untuk membuat penjelasan mengenai Hun Haqeem, artis di bawah pengurusan Metrowealth. 

“Kita dapat tahu bahawa banyak artikel, video dan foto disebarkan di Internet termasuk YouTube, Twitter dan lain-lain media sosial. 

“Saya sudah berunding dengan peguam dan kita sudah mengenal pasti penyebar yang mengeluarkan video, foto dan cerita palsu itu.

“Jadi, saya tidak teragak-agak akan mengambil tindakan yang sewajarnya kepada semua penyebar itu. Saya sudah panggil semua pegawai untuk rakamkan segala bukti yang ada. 

“Saya harap sesiapa yang sudah menyebar atau mengeluarkan foto, video dan cerita, sila turunkan atau padam. Jika tidak, saya tidak teragak-agak akan mengambil tindakan undang-undang sewajarnya,” katanya.

Baru-baru ini, industri hiburan tempatan dikejutkan dengan penyebaran  video dan gambar yang didakwa mirip Hun Haqeem dalam keadaan tidak senonoh.

Namun, belum ada kesahihan berkenaan hal ini, sama ada lelaki dalam video berkenaan adalah Haqeem atau bukan. 

Tidak kurang juga ada pihak beranggapan pelakon itu menjadi mangsa teknik ‘deepfake’ iaitu mencari visual lain bagi menggantikan wajah yang dipaparkan dalam video.

Semoga segalanya dapat diselesaikan dengan cara baik. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas