Artikel

Dapat lif baharu jaga baik-baik

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim turun padang meninjau keadaan lif di PA Seri Perak Sabtu lalu.
- Diterbit 25 Oktober 2021 9:52 AM MYT

KHABAR gembira untuk penghuni 67 Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) di seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Lif di kediaman mereka akan diganti baharu mulai tahun hadapan dan dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh dua tahun.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memperuntukkan RM127 juta bagi tujuan ini.

Pengumuman oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika lawatan ke PA Seri Perak, Sentul Sabtu 16 Oktober lalu pasti melegakan penghuni PPR dan PA yang selama ini sering mengeluh lif kerap rosak kerana sudah terlalu tua usianya, sehingga ada melebihi 35 tahun.

Apabila lif tidak berfungsi, penghuni berdepan masalah untuk turun naik, apatah lagi ketika waktu puncak seperti waktu hendak pergi dan balik bekerja atau ke sekolah.

Adi dapat bayangkan betapa masalah ini lebih dirasai oleh mereka yang tinggal di unit kediaman tinggi dan terpaksa mendaki banyak anak tangga. Tentu sahaja beban bertambah jika mereka membawa barang.

Sememangnya umur lif di kebanyakan PPR dan PA sudah sama usia dengan kediaman itu sendiri.

Kerana itu kerosakan sering berlaku. Tetapi kerap pula kerosakan berlaku kerana lif tidak dijaga dengan baik oleh penghuni sendiri.

Sudah kerap didengar kes vandalisme lif di PPR dan PA. Lif diconteng, sampah dan kekotoran bersepah adalah antara yang kerap dilaporkan.

Malah ada pula yang gatal tangan merosakkan butang lif sehingga lif tidak boleh beroperasi.

Kerana itu, jika pun lif disenggara secara berkala tetapi tidak dijaga dengan baik dan digunakan dengan ‘kasih sayang’ oleh penghuni, ia akan tetap kerap rosak.

Akhirnya yang susah ialah penghuni sendiri, tambahan ketika kecemasan seperti untuk menghantar pesakit ke hospital, kebakaran dan lain-lain.

Kerana itu Adi berharap dan menasihati segelintir mereka yang suka melakukan vandalisme ini supaya memikirkan sama kepentingan orang lain. Ubahlah sikap. Jangan kerana perbuatan mereka, kesemua penduduk susah. Bagaimana jika terkena kepada ahli keluarga sendiri? Baru mahu insaf?

Apabila kali ini kerajaan melalui DBKL bersetuju menggantikan lif lama di semua PPR dan PA, pupuklah azam baharu menjaga harta benda awam dengan sebaik-baiknya. Kerja-kerja penggantian dijangka bermula tahun hadapan apabila perolehan kontrak selesai.

Jika perolehan kontrak selesai lebih awal, kerja-kerja memasang lif baharu dijangka dimulakan lebih awal. Menurut Ismail Sabri, tempoh pemasangan mungkin memakan masa antara setahun hingga dua tahun. Semua bergantung kepada kontrak dan jumlah blok bagi setiap PPR atau PA.

Daripada peruntukan RM127 juta memasang lif baharu itu, Ismail memberitahu, DBKL menyalurkan RM8.4 juta kepada PA Seri Perak yang beliau lawati.

Peruntukan ini akan digunakan bagi mengganti 14 unit lif di tujuh blok kawasan perumahan tersebut yang telah berusia 35 tahun.

Bukan sahaja mengganti lif, DBKL juga memperuntukkan RM1.8 juta bagi pendawaian elektrik di PA Seri Perak memandangkan pendawaian yang ada sekarang juga sudah terlalu lama dan boleh membahayakan penduduk.

Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) sentiasa prihatin kepada PPR dan PA yang merupakan kediaman golongan B40.

Kerana itu proses menambah baik atau menaik taraf kemudahan dilakukan berterusan bagi memastikan keselesaan penghuni.

Selain peruntukan mengganti lif, sebanyak RM15 juta lagi diperuntuk bagi kerja-kerja menaik taraf dan membaiki longkang, kaki lima, taman permainan kanak-kanak dan gelanggang futsal di semua PPR dan PA di Kuala Lumpur.

Menyedari masalah letak kereta di kawasan kediaman ini, kerajaan juga merangka kaedah terbaik, antaranya membina bangunan letak kereta bertingkat.

Dengan itu tidaklah kenderaan diletak di merata kawasan perumahan sehingga boleh menganggu pergerakan orang ramai dan lalu lintas.

Harapan Adi kepada penghuni PPR dan PA khususnya, hargailah segala usaha kerajaan yang mahukan kehidupan selesa untuk mereka. Sentiasalah jaga kesejahteraan PPR dan PA.

Jaga kebersihan dan jaga harta awam yang disediakan untuk kemudahan bersama. Jadikan PPR atau PA kawasan kediaman ceria untuk semua.

Ingat, masih ramai menunggu peluang menduduki PPR dan PA tetapi terpaksa menunggu lama kerana jumlahnya ramai sedangkan unit PPR dan PA terhad.

Oleh itu, mereka yang mendapat rezeki menduduki PPR dan PA bersyukurlah. Jaga ia dengan sebaik-baiknya.

Adi — ‘Rumahku Syurgaku’

 

Hutan simpan baharu di KL

Berkuatkuasa 8 Oktober 2021, Wilayah Persekutuan (WP) Kuala Lumpur memperoleh kawasan hutan simpan kekal baharu seluas 23.83 hektar di Mukim Petaling yang diwartakan di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313).

Memetik Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Takiyuddin Hassan, Hutan Simpan Sungai Besi (Tambahan) itu diwartakan bagi mengganti kawasan Hutan Simpan Bukit Sungai Puteh, Mukim Cheras, Kuala Lumpur seluas 7.48 hektar yang diwarta keluar bagi membolehkan kerja pembangunan Lebuh Raya Sungai Besi—Ulu Kelang (SUKE).

Katanya, hutan simpan itu juga diwartakan sebagai hutan perlindungan dan dikelaskan sebagai hutan penyelidikan, hutan lipur dan hutan pelajaran di bawah sub seksyen 10 (1) Akta 313. Ia juga diisytiharkan sebagai hutan tertutup di bawah Seksyen 45 Akta sama.

Adi difahamkan, dengan pewartaan hutan simpan kekal baharu ini telah meningkatkan kawasan hutan di Kuala Lumpur kepada 0.35 peratus daripada keluasan tanah keseluruhan berbanding dengan hanya 0.28 peratus sebelum ini.

Dalam arus pembangunan pesat Kuala Lumpur yang dipenuhi dengan hutan batu, penambahan keluasan kawasan hutan simpan di Kuala Lumpur sangat dialu-alukan.

Bukan sahaja ia sebagai aset semula jadi sangat berharga kepada Kuala Lumpur tetapi pokok-pokok hutan hijau ini mampu menjadi pengimbang pembangunan pesat di ibu negara.

Ini juga selari dengan hasrat menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandar raya rendah karbon. Sekurang-kurangnya kehadiran hutan hijau ini dapat membantu menyerap segala bentuk pencemaran dan pelepasan karbon yang memenuhi ruang udara ibu kota.

Sekalipun sudah ada taman-taman dan kawasan rekreasi menghijau di merata pelosok ibu negara, ia belum mencukupi untuk mewujudkan persekitaran hijau.

Hutan simpan kekal adalah khazanah alam yang sangat berguna bagi kesejahteraan bandar raya dan keselesaan warganya.

Warga Kuala Lumpur yang saban hari berdepan dengan pelbagai cabaran seperti kesesakan lalu lintas dan pencemaran pelbagai punca sentiasa mengharapkan persekitaran yang bersih dan segar. Di sinilah hutan simpan memainkan peranan.

Adi berharap hutan simpan yang telah diwartakan akan terus terpelihara sehingga generasi akan datang dan tidak diganggu gugat atas nama pembangunan.

Jika terpaksa, segera cari ganti dan pastikan nisbah hutan simpan tetap sama, malah seeloknya ditambah lagi.

Adi — Sayangilah hutan kita

– Adi Tuah

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas