Artikel

CCTV ‘mata telinga pintar’ DBKL

SHAHIDAN melawat Kuala Lumpur Control and Command Centre (KLCCC) yang membantu merakam kesesakan lalu lintas di Kuala Lumpur.
- Diterbit 29 Oktober 2021 4:30 AM MYT

KE arah Kuala Lumpur Bandar Raya Sejahtera menjelang 2030, pemantaun daripada pelbagai aspek memang perlu, bukan sahaja menggunakan tenaga manusia tetapi juga dengan bantuan kemudahan teknologi.

Sehubungan itu Adi menyambut baik langkah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memasang 5,000 kamera litar tertutup (CCTV) di semua kawasan strategik bagi memantau keadaan trafik dan aset miliknya.

Memetik Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim, pemasangan CCTV akan dilaksanakan dalam dua fasa. Fasa pertama melibatkan 3,000 unit CCTV dengan matlamat pemantauan trafik, taman-taman dan pasar awam seluruh bandar raya.

Dalam fasa kedua, sebanyak 2,000 unit CCTV akan dipasang bagi kegunaan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan DBKL bagi pemantauan jenayah. Projek ini dijangka siap sepenuhnya hujung tahun ini.

Adi melihat usaha DBKL ini akan banyak membantu menangani masalah utama di bandar raya seperti jenayah, lalu lintas dan vandalisme. CCTV akan merakam segala aktiviti di lokasi dan membolehkan tindakan segera diambil.

Misalnya pusat kawalan CCTV yang sekarang dijenamakan semula sebagai Kuala Lumpur Control and Command Centre (KLCCC) akan merakam kesesakan lalu lintas. Tindakan mengawal dan menyuraikan kesesakan di jalanjalan tertentu boleh dilakukan segera oleh polis atau trafik warden DBKL.

Malah ia juga boleh memantau kerosakan jalan, tanda jalan yang sudah pudar, jalan berlubang, tumpahan simen, kerosakan lampu jalan dan lampu isyarat, pokok tumbang dan sebagainya. Juga boleh memantau kegiatan penjaja haram.

Kerana itu Adi melihat pemasangan CCTV ini bermanfaat dan sangat diperlukan dalam sebuah bandar besar yang sibuk seperti Kuala Lumpur yang saban hari berdepan dengan pelbagai masalah dan karenah warganya.

Pemasangan CCTV adalah ciri penting bandar raya moden dan telah dilaksanakan di banyak bandar raya besar seluruh dunia. Kuala Lumpur boleh berbangga kerana tidak ketinggalan dalam aspek ini. Pemsangan CCTV ini akan menjadi ‘mata telinga pintar’ untuk DBKL menjalankan kerjakerja pemantauan, pencegahan, penguatkuasaan serta penyenggaraan di bandar raya.

Adi berharap pemasangannya akan menjadikan warga Kuala Lumpur lebih berdisiplin dan mematuhi undang-undang kerana banyak aktiviti mereka akan terakam. Lakukan jenayah atau vandalisme, wajah akan dikenal pasti. Tunggu sahaja tindakan menyusul.

Adi — Guna kamera telefon

DINE-IN: AWAS, JANGAN HISAP ROKOK!

KEBENARAN makan di dalam premis atau dine-in setelah sekian lama terhenti kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan ramai leka bahawa larangan merokok di premis makan masih berkuat kuasa. Premis merangkumi yang tertutup atau terbuka, seperti restoran, kawasan Rawat dan Rehat (R&R), kantin, gerai atau warung.

Kerana itu apabila dinein dibenarkan, didapati ada pelanggan sambil menjamu selera dengan suka hati menghisap rokok seolaholah larangan berkenaan sudah ditarik balik. Pastinya ini termasuk di Wilayah Persekutuan.

Mereka berandaian seiring dengan kebenaran dine-in, menghisap rokok dalam premis juga dibenarkan. Nampaknya setelah sekian lama terkurung kerana PKP, ramai lupa, sama ada benar-benar lupa atau buatbuat lupa.

Kerana itu Adi ingin ingatkan larangan merokok di premis makanan masih berkuatkuasa, selaras dengan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 pindaan 2018. Ia berkuatkuasa mulai 1 Januari 2020 di semua premis makanan.

Adi ucapkan tahniah kepada Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, yang memberi respons pantas berhubung isu menghisap rokok di premis makan ini ekoran luahan seorang pengguna Twitter yang tidak senang hati dengan sikap pengunjung bebas merokok dalam premis.

Pengguna Twitter ini meminta Khairy meningkatkan pematuhan larangan merokok di kedai makan. Katanya ini kerana semakin ramai menghisap rokok dalam kedai seolah-olah larangan sudah dihapuskan.

Khairy dalam Twitter balasnya pada 21 Oktober memaklumkan beliau telah pun mengarahkan agar larangan merokok di premis makan ditingkatkan melalui pekeliling bertarikh 20 Oktober.

Beliau sendiri bersetuju dengan larangan ini yang dilaksanakan ketika Dr Zulkifli Ahmad menjadi Menteri Kesihatan pada era pemerintahan Pakatan Harapan (PH) dahulu dan menyifatkannya sebagai satu dasar yang bagus.

Namun mungkin kerana orang ramai sudah mula lupa atau ambil ringan, dan pemilik premis makanan pula tidak bertindak serius menghalang pelanggan menghisap rokok, pelanggan semakin berani berbuat demikian tanpa segan silu kepada orang sekeliling.

Adi percaya peringatan yang dikeluarkan oleh Khairy mampu menyegarkan kembali minda bahawa larangan merokok masih berkuat kuasa dan jangan cuba melanggarnya.

Pada masa sama ia harus menjadi peringatan kepada pemilik premis makan agar jangan cuba mengabaikan tanggungjawab mereka menghalang pelanggan merokok. Selain mempamerkan larangan merokok dengan jelas, tidak boleh menyediakan kemudahan merokok seperti bekas abu rokok, perkhidmatan menjual shisha serta lain-lain kemudahan merokok.

Sambil memantau pematuhan kepada SOP di premis makanan dan mendenda mereka yang tidak mematuhinya, bolehlah dibuat sekali jalan kepada pelanggan yang merokok. Jika pelanggan gagal mematuhi SOP dan pada masa sama merokok dalam premis, sedialah hadapi denda berganda.

Kompaun yang dikenakan bagi kesalahan kali pertama menghisap rokok ialah RM250 dengan tawaran pengurangan kepada RM150 jika dibayar dalam sebulan. Kesalahan kali kedua juga RM250 tetapi tanpa pengurangan. Kesalahan ketiga denda RM350.

Pemilik premis yang membenarkan pelanggan menghisap rokok berdepan denda RM250 masing-masing untuk kesalahan pertama dan kedua serta RM350 untuk kesalahan ketiga. Tiada sebarang pengurangan ditawarkan.

Adi harap difahami dan dihayati kenapa larangan ini dikuatkuasa. Terasnya ialah kesihatan. Premis-premis makan turut dikunjungi oleh bukan perokok. Tidak adil mereka terpaksa menerima gangguan dan tempias kepulan asap rokok ketika makan. Mereka bukan sahaja tidak selesa tetapi boleh menjadi marah.

Adi masih ingat, sewaktu larangan ini hendak dikuatkuasakan dahulu pun mendapat bantahan keras, tentunya daripada golongan perokok. Bagi mereka, merokok adalah hak. Tetapi jangan lupa orang yang tidak merokok juga mempunyai hak kepada udara dan persekitaran bersih.

Kerana itu Adi menggesa para pemilik restoran dan kedai makan bantulah kerajaan menguatkuasa larangan merokok ini. Jika pemilik premis sendiri bersekongkol, tindakan tegas mesti diambil terhadap mereka.

Jangan bimbang kehilangan pelanggan kerana merokok tidak dibenarkan. Malah sebenarnya lebih ramai akan datang makan kerana sukakan persekitaran bersih dan udara segar tidak tercemar oleh asap rokok.

Kepada perokok tegar, sematkan larangan ini dalam hati. Syukur sudah boleh dinein, tidak perlulah hisap rokok. Hisaplah di rumah atau tempat yang dikecuali daripada larangan. Tetapi lagi elok jika berhenti merokok kerana merokok itu membahayakan kesihatan!

Adi — Bukan perokok  – WILAYAHKU – ADI TUAH

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas