Selebriti

Dana PKP Siti Nurhaliza disambung sehingga 9 Jun

SITI beri peluang orang ramai beramal.
- Diterbit 14 Mei 2020 7:11 AM MYT

PENGUMPULAN dana Peduli, Kemanusiaan, Prihatin atau lebih dikenali dana PKP yang dianjurkan oleh penyanyi nombor satu tanah air, Datuk Seri Siti Nurhaliza yang sepatutnya dijadualkan berakhir esok akan dilanjutkan sehingga 9 Jun depan.

Menurut Siti, dana yang sehingga hari ini telah berjaya mengumpul sehingga RM267, 107 itu dilanjutkan kerana mahu ia dijadikan ruang untuk orang ramai beramal sempena kemuliaan bulan Ramadan.

“Saya terpanggil untuk melanjutkan dana ini kerana saya sendiri dapat menyaksikan bagaimana para penyumbang masih menderma dan saya kira ini sudah menjadi rutin harian.

JUMLAH kutipan dana sejak dilancarkan April lalu.

“Saya juga sedikit hiba apabila melihat dana ini akan berakhir pada hari esok kerana saya mahu dana ini menjadi ruang kita beramal pada bulan Ramadan ini,” tulis Siti.

Tambah penyanyi lagu 7 nasihat itu lagi, dana berkenaan mungkin akan diteruskan sekiranya tempoh perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) dilanjutkan.

“Jika PKPB dilanjutkan, dana ini juga akan diteruskan dan saya tidak meletakkan tarikh tertentu lagi. Jika diteruskan sampai bila-bila juga, saya turut berbesar hati untuk kita sama-sama memanfaatkan kerja amal ini,” kongsi.

Terdahulu, dana PKP yang ditubuhkan pada 15 April lalu menekankan kepada tiga objektif utama.

Objektif pertama adalah peduli untuk membantu keperluan dan peralatan di pusat perubatan yang terlibat menangani Covid-19. Kedua adalah kemanusiaan untuk membantu individu dan keluarga yang terjejas pendapatan dan seterusnya prihatin yang memberi bantuan khas sempena bulan Ramadan dan Syawal yang bakal tiba.

Orang ramai yang berhasrat untuk menghulurkan bantuan boleh layari laman web rasmi Kitafund di www.kitafund.com dan pilih kempen Dana PKP Siti Nurhaliza.-WILAYAHKU.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas