Berita

KDNK suku pertama 2020 tumbuh 0.7 peratus, kadar terendah sejak 2009

PREMIS makanan tidak dapat menerima pelanggan yang ramai menyebabkan kadar perbelanjaan merosot. Gambar hiasan
- Diterbit 13 Mei 2020 5:13 AM MYT

PUTRAJAYA – Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia bagi suku tahun pertama 2020 tumbuh 0.7 peratus berbanding 3.6 peratus yang dicatatkan pada suku tahun keempat 2019.

Perkara itu dilaporkan Jabatan Perangkaan (DOSM) berdasarkan Statistik KDNK dan Imbangan Pembayaran Suku Tahun Pertama 2020 (ST1 2020) yang memaparkan prestasi ekonomi Malaysia secara menyeluruh.

Ketua Pengarah Perangkaan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, pertumbuhan itu merupakan kadar terendah dicatatkan semenjak suku tahun ketiga 2009 iaitu negatif 1.1 peratus.

“Pertumbuhan pada suku pertama ini didorong oleh pertumbuhan di sektor perkhidmatan sebanyak 3.1 peratus dan pembuatan (1.5 peratus) manakala sektor lain mengalami pertumbuhan negatif.

“Perbelanjaan penggunaan isi rumah masih meningkat iaitu 6.7 peratus. Perbelanjaan utama yang dilakukan oleh isi rumah pada kali ini adalah terhadap penggunaan essential seperti makanan dan minuman; telekomunikasi dan perumahan; air dan elektrik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Mohd. Uzir, dalam tempoh ini juga berlaku penurunan dalam perbelanjaan penggunaan petrol, perjalanan, rekreasi dan makanan di luar rumah.

Ujarnya, pengurangan perbelanjaan oleh isi rumah tersebut secara langsung memberi kesan kepada industri yang berkaitan seperti industri makanan dan minuman, perhotelan, pengangkutan, sukan dan rekreasi.

Jelas beliau, ia kerana terdapat hubungan langsung antara permintaan terhadap perbelanjaan penggunaan dan penawaran pengeluaran barangan dan perkhidmatan.

Dalam pada itu, beliau turut menyatakan Malaysia yang merupakan negara perdagangan utama dunia akan terkesan dengan prestasi ekonomi global berikutan nilai ekonomi negara adalah berjumlah RM1.4 trillion dengan nilai dagangan tahunan sebanyak RM1.9 trillion.

Beliau juga menjelaskan, nilai sektor pelancongan negara yang diukur menggunakan akaun satelit pelancongan menyumbang sebanyak 15.2 peratus kepada ekonomi Malaysia dengan nilai tahunan sebanyak RM220.6 billion selain melibatkan pekerjaan seramai 3.5 juta orang.

“Terdapat 194 industri yang terlibat dalam rantaian sektor pelancongan ini. Oleh itu, penularan wabak Covid-19 ini telah mula memberi kesan kepada sektor pelancongan.

“Sementara itu, eksport negara ke China telah menunjukkan penurunan yang ketara mulai Januari 2020. Demikian juga dengan prestasi eksport perkhidmatan yang telah menunjukkan kemerosotan ekoran penurunan pelancong ke negara ini,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas