Berita

Culas bayar caj penyelenggaraan punca rumah gagal diselenggara

CAJ penyelenggaraan yang dikenakan untuk perumahan kos rendah adalah di antara RM35 hingga RM45 sahaja.
- Diterbit 24 Mac 2023 3:24 AM MYT

JUMLAH tunggakan yang tinggi mencecah lebih RM1 juta bagi kutipan caj bulanan strata kos rendah di bandar raya Kuala Lumpur menjadi punca banyak skim perumahan ini berdepan masalah pengurusan dan penyelenggaraan.

MOHD HELMI

Mendedahkan perkara itu, Pengarah Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Sr Mohd Helmi Mohd Sany berkata jumlah tunggakan yang tinggi itu melibatkan sebuah perumahan kos rendah swasta yang mengenakan bayaran penyelenggaraan hanya RM35 sebulan.

“Kebanyakan caj penyelenggaraan yang dikenakan untuk perumahan strata kos rendah adalah di antara RM35 hingga RM45 sahaja.

“Oleh kerana ada kecuaian dalam membuat bayaran serta sikap segelintir penduduk yang sengaja tidak mahu membayar caj berkenaan menyebabkan Badan Pengurusan Bersama (JMB) perumahan itu terpaksa menanggung tunggakan yang sangat tinggi sekali gus menyukarkan kerja-kerja penyelenggaraan dan pembersihan di kawasan itu,” katanya kepada Wilayahku baru-baru ini.

Mohd Helmi berkata caj penyelenggaraan yang dikenakan untuk perumahan kos rendah adalah di antara RM35 hingga RM45 sahaja sedangkan nilai yang perlu dibayar adalah di antara RM80 hingga RM90 untuk satu unit strata.

“Namun jika ditanya kesanggupan sebenar hanya sekitar RM20 sahaja dan dengan kutipan yang rendah timbul masalah kepada pihak JMB dan MC dan mereka berhadapan dengan masalah untuk menyelenggara lif yang sememangnya melibatkan kos tinggi,” katanya.

Beliau berkata sikap dan mentaliti penduduk perumahan tersebut juga menyumbang kepada masalah lain selain hanya mengharap kepada kerajaan dan pihak berkuasa sekiranya terdapat kerosakan lif dan bangunan khususnya bumbung ketika bencana alam.

“Tidak dinafikan kebaikan kerajaan juga diperlukan terutama ketika berlaku bencana seperti ribut dan angin kencang sehingga menyebabkan bumbung tercabut seperti yang berlaku di Bandar Baru Sentul dan Taman Melati. Maka bantuan khas itu dapat membantu penduduk perumahan yang terjejas.

“Satu keadaan lain yang boleh dibuat adalah melalui kutipan khas disebabkan bencana dan ia dikutip daripada penduduk namun sangat sukar untuk mendapat kerjasama daripada penduduk.

“Sebenarnya, JMB dan MC itu sendiri yang perlu bertanggungjawab dan mereka perlu merujuk kepada syarikat insurans terlebih dahulu kerana setiap bangunan perlu diinsuranskan setiap tahun,” katanya.

Jelas Mohd Helmi, setiap JMB mempunyai sinking fund yang boleh digunakan sewaktu kecemasan namun kebanyakannya tidak mencukupi kerana tidak semua penduduk melunaskan bayaran caj pengurusan dan penyelenggaraan seperti yang telah dipersetujui bersama.

“Apabila berlaku sesuatu bencana di luar jangka, JMB boleh menganjurkan kutipan tambahan bagi membaiki mana-mana peralatan yang rosak dan mereka juga perlu mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Pembangunan dan Perumahan Tempatan (KPKT) dalam urusan pelantikan kontraktor bagi mengelakkan masalah,” katanya. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas