Berita

CUEPACS rai sambutan Hari Pekerja secara dalam talian

ADNAN menyampaikan sumbangan Anugerah Majikan Prihatin sempena Hari Pekerja kepada Mohammad Hamdan yang mewakili JBPM di Putrajaya hari ini.
- Diterbit 1 Mei 2020 3:26 PM MYT

PUTRAJAYA – Tahun ini Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) meraikan Hari Pekerja 1 Mei 2020 dengan pendekatan sedikit berbeza apabila ia disambut secara maya melalui laman Facebook rasminya.

Sambutan tersebut tidak melibatkan perhimpunan beramai-ramai sebaliknya semua ahli dan kesatuan di bawah CUEPACS menyambut di rumah masing-masing dengan menyaksikan acara sambutan melalui siaran secara langsung di Facebook bagi mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bertemakan Pekerja Tunjang Kelestarian Negara, acara sambutan sebelah pagi dimulakan pada pukul 9.30 pagi dengan nyayian lagu Negaraku dan lagu Suara Pekerja.

Sambutan itu dimulakan dengan ucapan Presiden CUEPACS, Adnan Mat; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Mohd. Khairul Adib Abd Rahman dan Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd. Zuki Ali.

Turut diadakan adalah persembahan tiga deklamasi sajak oleh wakil kesatuan yang bertajuk Hidup CUEPACS, Perjuangan Kita dan Suara Perjuangan.

Sebaik sahaja selesai, majlis diteruskan dengan perutusan khas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sempena sambutan Hari Pekerja 1 Mei 2020 yang disiarkan secara langsung di Facebook CUEPACS.

Pada sebelah petang, sambutan diteruskan dengan penyampaian Anugerah Majikan Prihatin dan Tokoh Hari Pekerja CUEPACS yang disampaikan terus kepada kepada penerima mengikut garis panduan PKP yang ditetapkan.

Anugerah Majikan Prihatin diberikan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM). Anugerah tersebut disampaikan oleh Adnan kepada Ketua Pengarah JBPM, Datuk Mohammad Hamdan Wahid.

CUEPACS dalam kenyataannya berkata, pemilihan JBPM sebagai penerima anugerah tersebut dibuat berdasarkan beberapa kriteria seperti hubungan komunikasi dua hala antara majikan dan pekerja yang sangat baik baik selain membela kebajikan pekerja.

“Ia dapat dilihat melalui kejayaan JBPM menerima Elaun Khas Skim Perkhidmatan Bomba sebanyak RM200, penerimaan baju dan helmet baharu untuk keselamatan anggota bomba serta kesungguhan JBPM membela kes kematian Allahyarham Muhammad Adib Mohd. Kassim.

“Pihak pengurusan tertinggi JBPM juga memberi kerjasama yang baik kepada kesatuan sekerja dalam soal kebajikan kakitangan,” kata kenyataan itu.

ADNAN (kanan) menyampaikan plak Anugerah Tokoh Hari Pekerja CUEPACS 2020 kepada Mohd. Uzir.

Dalam pada itu, Anugerah Tokoh Hari Pekerja CUEPACS pula diberikan kepada Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin atas pencapaian dan kejayaan sepanjang menerajui dan berkhidmat di Jabatan Perangkaan Malaysia.

Beliau yang memulakan kerjaya di jabatan sejak 1991 telah berjaya merakyatkan data statistik bagi membolehkan semua rakyat memahaminya dengan lebih mudah.

“Setiap data statistik yang dikeluarkan menjadi pusat rujukan dalam penyusunan statistik rasmi dan mendapat pengiktirafan dari agensi dalam dan luar negara.

“Di bawah kepimpinan beliau juga Jabatan Perangkaan Malaysia telah diberi penghormatan dengan pengiktirafan sambutan Hari Statistik Negara pada 20 Oktober setiap tahun bermula pada 2017,” kata kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu, Jabatan Perangkaan Malaysia juga menjadi pembekal data statistik untuk Majlis Tindakan Ekonomi Negara dalam membuat sebarang dasar dan polisi yang berkaitan.

“Mohd. Uzir juga berjaya menganjurkan Persidangan Statistik Antarabangsa 2019 yang disertai lebih 1,000 saintis data dari pelbagai negara pada tahun lalu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

“Beliau juga banyak membantu CUEPACS dalam berkongsi data-data statistik membabitkan kepentingan rakyat dan penjawat awam,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas