Berita

Cuepacs gesa pelaksanaan PKP penuh 21 hari

ADNAN Mat menggesa kerajaan melaksanakan segera Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara menyeluruh bagi tempoh sekurang-kurangnya 21 hari dalam usaha mengekang penularan jangkitan COVID-19.
- Diterbit 19 Mei 2021 1:00 PM MYT

KONGRES Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) telah menggesa kerajaan melaksana secara sepenuhnya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara bagi tempoh sekurang-kurangnya 21 hari.

Langkah tersebut kata Presidennya, Adnan Mat perlu dibuat berikutan situasi semasa penularan COVID-19 yang terus meningkat sehingga telah menyebabkan perkhidmatan kesihatan berdepan cabaran getir merawat pesakit COVID-19, dalam masa sama, perlu mengendalikan pesakit lain.

Katanya, tempoh 21 hari seperti dicadangkan itu adalah paling minimum bagi membolehkan suatu langkah drastik dilaksana segera kerajaan untuk mengekang penularan COVID-19 yang ketika ini menyaksikan pertambahan ketara pesakit positif sehingga semakin membimbangkan.

“Sekiranya kerajaan masih lagi mengguna pakai SOP (Prosedur Operasi Standard) semasa untuk mengekang penularan COVID-19, Cuepacs amat bimbang perkhidmatan kesihatan negara akan menjadi lumpuh sekali gus mengundang darurat kesihatan yang serius kepada negara,” katanya dalam kenyataan media hari ini di Kuala Lumpur.

Menurut Adnan, SOP sedia ada yang dilaksana dalam PKP 2.0 dan PKP 3.0 ketika ini dilihat tidak berkesan mengurangkan bilangan kes jangkitan COVID-19 bahkan semakin melonjak setiap hari dengan trend peningkatan kes disebabkan oleh pergerakan orang ramai secara tidak terkawal.

Katanya, antara faktor yang mendorong kepada situasi tersebut adalah kerana SOP yang sentiasa berubah dan tidak seragam, mengelirukan rakyat serta pengumuman pelaksanaan PKPD di lokasi berisiko tinggi dibuat lebih awal hingga memberi kesempatan masyarakat bertindak keluar dari kawasan terbabit seterusnya telah menyebabkan penularan kes berlaku di kawasan luar.

Justeru tegasnya pelaksanaan PKP secara penuh seperti dikuatkuasa pada 18 Mac 2020 mungkin agak terseksa bagi rakyat namun dengan kaedah PKP semasa sekejap buka sekejap tutup telah menyebabkan ekonomi semakin perlahan, selain pendidikan anak-anak terabai dan pengangguran meningkat adalah lebih buruk.

“Ditambah pula dengan penularan varian baharu amat berbahaya dari Afrika dan India di Malaysia ketika ini, pelaksanaan PKP penuh diyakini dapat memastikan negara kembali ke landasan terbaik,” katanya.

Dalam pada itu, Cuepacs kata Adnan menggesa menteri dan kementerian terlibat terus mengawal harga harga barang keperluan harian bertujuan memastikan tiada pihak bertindak memanipulasi harga sekiranya PKP penuh dilaksanakan.

“Selain itu, kerajaan turut perlu mempertimbang bantuan kewangan kepada semua isi rumah yang terjejas dengan Bank Negara serta Kementerian Kewangan perlu mewajibkan bank-bank komersil melaksanakan semula moratorium penuh seperti tahun lalu kepada semua peminjam selama tiga bulan sebagai inisiatif kurangkan kesan ekonomi serta kepada individu dan organisasi,” katanya

Malaysia hari ini merekodkan kes harian tertinggi COVID-19 dengan 6,075 kes sejak pandemik itu dikesan di negara ini pada Januari tahun lepas. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas