Berita

Cucu bekas Presiden Kazakhstan ditemukan meninggal dunia di London

- Diterbit 18 Ogos 2020 3:29 AM MYT

CUCU bekas Presiden Kazakhstan, Nursultan Nazarbayev, ditemukan meninggal dunia di London pada hujung minggu, kematiannya disyaki akibat kegagalan jantung, lapor Agensi Anadolu, memetik media tempatan pada Isnin.

Aisultan Nazarbayev, 29, dikatakan mempunyai masalah penagihan dadah dan semakin lantang mengkritik tokoh politik terkemuka di negara kelahirannya. Pada Februari beliau mengaku mempunyai bukti rasuah besar antara Kazakhstan dan Rusia.

Di media sosial Facebook pada bulan yang sama beliau memohon suaka politik di United Kingdom (UK), kerana mendakwa diganggu ibunya, Dariga Nazarbayeva, puteri sulung Nursultan dan seorang tokoh politik berprofil tinggi di Kazakhstan.

Dakwaannya dinafikan kerajaan dan Aisultan pada 2017 mengakui dirinya berdepan masalah penagihan dadah.

Aisultan, cucu kesayangan datuknya dan pada satu ketika pernah diharapkan untuk menjawat jawatan tinggi. Pada 2009, beliau masuk ke Sandhurst, kolej tentera berprestij di UK dan pernah  memegang jawatan di Kementerian Pertahanan ketika berusia awal 20-an.

“Keluarga saya sangat sedih dengan kehilangan Aisultan yang kami sayangi, dan kami mohon diberikan ruang pada masa yang sukar ini.”

Menurut Daily Mail, Aisultan pernah menyertai akademi remaja bola sepak Chelsea.

Beliau juga dilaporkan membayar £2 juta untuk pemuzik Kanye West tampil pada majlis perkahwinannya dengan Alima Boranbayeva, anak perempuan ahli perniagaan Kazakhstan, pada 2013. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas