COVID: Selangor, KL catat peningkatan dalam seminggu pertama Julai
SELANGOR dan Kuala Lumpur mencatatkan 42.02 peratus dan 13.01 peratus daripada 47,811 kes direkodkan dalam tempoh seminggu pertama bulan Julai. Foto-BERNAMA

COVID: Selangor, KL catat peningkatan dalam seminggu pertama Julai

SELANGOR dan Kuala Lumpur masing-masing mencatatkan 42.02 peratus dan 13.01 peratus daripada 47,811 kes direkodkan dalam tempoh seminggu pertama pada bulan Julai (1 hingga 7 Julai), kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Menerusi kenyataan media hari ini, beliau memaklumkan jumlah ini mencatatkan peningkatan daripada 38.33 peratus dicatatkan di Selangor dan 12.29 peratus di Kuala Lumpur daripada 40,973 kes bagi tempoh 24 hingga 30 Jun lepas.

Katanya dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di 34 mukim di Selangor dan 14 lokaliti di Kuala Lumpur selama 14 hari bermula 3 hingga 16 Julai, aktiviti kesihatan awam termasuk saringan bersasar dapat dijalankan dengan lebih bertumpu.

“ Aktiviti pengesanan kontak rapat dan saringan kesihatan khususnya ke atas individu yang bergejala telah dilaksanakan dengan lebih giat bagi pengesanan awal kes COVID-19. Ini membolehkan pengasingan segera dijalankan bagi mengelakkan penularan jangkitan COVID-19 dalam komuniti.

Selain itu, Kementerian Kesihatan (KKM) juga menjalankan saringan ke atas 10 peratus daripada penduduk yang tinggal di kawasan PKPD terbabit dan keutamaan diberi kepada mereka yang berisiko tinggi. Justeru, jumlah kes harian COVID-19 dijangka meningkat berikutan pelaksanaan aktiviti-aktiviti kesihatan awam,” katanya.

Katanya PKPD yang dilaksanakan adalah berdasarkan penilaian risiko di kawasan terbabit dan hasil saringan bersasar ini menunjukkan peningkatan kes yang ketara di negeri-negeri yang berada di bawah PKPD.

Beliau memaklumkan beberapa tindakan telah diambil bagi menangani keadaan kritikal itu berikutan peningkatan kes yang mendadak ini, termasuk meneruskan aktiviti penyumberluaran  ke hospital dan makmal swasta bagi membantu meningkatkan kapasiti KKM menangani COVID-19.

Keputusan untuk penyumberluaran itu dibuat Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Dr Noor Hisham berkata antara tindakan penyumberluaran adalah meluluskan peruntukan penyumberluaran perkhidmatan perubatan bagi mengurangkan masa menunggu pesakit khususnya yang perlu menjalani pembedahan atau prosedur kritikal seperti rawatan jantung dan kanser.

“Ini akan memberi lebih banyak ruang dalam hospital KKM untuk menangani kes COVID-19 yang perlu dimasukkan ke hospital dan pada masa yang sama memastikan rawatan kepada kes-kes bukan COVID-19 dapat terus diberikan,” katanya.

Beliau berkata kerajaan membelanjakan sebanyak RM11 juta pada 2020 bagi aktiviti penyumberluaran perkhidmatan perubatan yang melibatkan 31 hospital swasta dengan 3,741 pembedahan dan prosedur berjaya dilaksanakan dan untuk tahun ini peruntukan sebanyak RM39,087,983 diagihkan kepada 14 negeri bagi tujuan sama dengan setakat ini, 72 hospital swasta seluruh negara terlibat dalam aktiviti berkenaan.

“Susulan daripada peningkatan kes yang mendadak di kawasan Lembah Klang, Hospital Kuala Lumpur telah mempertingkatkan aktiviti penyumberluaran kepada hospital-hospital swasta yang berdekatan,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata sejak 6 Julai, seramai 25 pesakit dihantar ke hospital swasta dengan anggaran empat pesakit dihantar setiap hari.

Beliau berkata seramai 993 pesakit dianggarkan akan dihantar mendapatkan rawatan di hospital swasta dalam jangka masa enam bulan dengan melibatkan peruntukan berjumlah RM18 juta.

Sementara itu, beliau memaklumkan perkhidmatan makmal juga bekerjasama dengan Kementerian Pertahanan,  Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), universiti awam dan swasta serta makmal swasta diiktiraf untuk menambah kapasiti ujian COVID-19.

Katanya sehingga kini, kapasiti ujian RT-PCR bagi semua makmal terlibat adalah sebanyak 116,803 ujian sehari. – BERNAMA

CATEGORIES